Rakyat Lega MB Baharu Dilantik

September 30, 2014 by Suara Kebenaran

Category: politik

PELANTIKAN Menteri Besar (MB) Selangor yang baharu, Mohamed Azmin Ali menyebabkan rakyat Selangor berasa lega dan lapang dada.

Ini tambah dirasakan juga penuh harapan oleh pengundi beliau di Dun Bukit Antarabangsa dan Parlimen Gombak yang memilih beliau sebagai wakil rakyat.

Kalau ada pun yang terasa sedikit kecewa mungkin YB Kajang, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail kerana tidak dapat menduduki kerusi MB Selangor yang panas dan sentiasa bergolak.

Kelegaan ini bersebab kerana hampir dua bulan krisis dan pergolakan politik di Selangor menyebabkan rakyat resah gelisah dan tak tentu arah.

Tinjauan penulis rata-rata dalam kalangan rakyat menyatakan pelantikan itu dapat melegakan krisis politik di Selangor dan sekurang-kurangnya ia diterima oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pas dan DAP. Tambah lagi Pas yang mencalonkan beliau ke jawatan itu.

Selain itu, sekurang-kurang buat masa ini pelantikan ini mewujudkan sedikit persefahaman antara tiga parti tersebut yang berkecamuk disebabkan ‘Langkah Kajang’. Perlu diingat 10 ikrar Aku Janji MB Selangor sangat jelas untuk dilaksanakan oleh MB baharu yang menjadi perhatian rakyat.

Pelantikan itu juga diharapkan dapat membuktikan kecekapan pentadbiran sekurang-kurangnya, sama atau lebih cekap dan penuh integriti berbanding MB terdahulu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Sebagai ahli politik; seperti juga pelari, Abdul Khalid telah memberikan baton yang cukup baik untuk diteruskan pelarian dalam pentadbiran kerajaan negeri berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor.

Beberapa masalah dan isu-isu yang tertangguh sedang menanti untuk diuruskan oleh MB baharu, iaitu meneruskan dasar peduli rakyat seperti amalan sebelum ini dengan baik, antaranya masalah dan isu bekalan air bersih kepada penduduk Selangor, masalah pengurusan dan kutipan sampah dan wabak denggi, masalah kecurian pasir, masalah peluang perniagaan dan tempat berniaga bagi peniaga Bumiputera, masalah perumahan mampu milik dan juga segala keputusan yang dilaksanakan nanti bukan arahan daripada pihak tertentu.

Rakyat juga yakin dan menaruh harapan tinggi dengan kredibiliti dan juga integriti yang ada pada MB baharu berdasarkan kelulusan dan pengalaman politiknya hampir 20 tahun dalam kerajaan dan PKR.

Justeru, pada masa ini kebanyakan rakyat setuju dengan pelantikan MB Selangor yang baharu, diperkenankan oleh Sultan Selangor.

Rakyat bawahan juga mengharapkan MB Selangor yang baharu lebih mesra rakyat, selalu turun padang melihat permasalahan rakyat dan pengundi, mendengar dan memahami rintihan rakyat, mendahulukan kepentingan rakyat daripada kepentingan peribadi dan mendengar serta segera mengatasi masalah dihadapi rakyat.

Inilah ciri-ciri yang dikehendaki oleh rakyat, khususnya penduduk dan pengundi di Selangor yang memilih wakil rakyat dan MB Selangor yang baharu.

Jika ciri-ciri ini dapat dilaksanakan dengan jujur dan amanah kerusi MB Selangor yang panas dan selalu bergolak itu tidak berlaku lagi.

Banyak pandangan daripada tokoh ilmuwan dan bijak pandai mengatakan, kejayaan dan kebijaksanaan seseorang pemimpin itu adalah kerana bijak mengambil teladan daripada sejarah dan peristiwa yang berlaku sebagai pengajaran kepada kejayaan kepimpinannya pada masa akan datang. Sejarah masa lalu jadikan pedoman pada masa akan datang.

Dalam politik, tiada musuh dan kawan yang kekal. Kawan boleh menjadi lawan dan lawan boleh menjadi kawan. IniĀ  perkara yang seharusnya diperingatkan kepada setiap ahli politik yang bijak. Hal ini disebabkan politik itu bukan hanya lakonan retorik, malahan tersirat bahasa semantik yang sangat menarik.

Kejayaan seseorang pemimpin juga banyak bergantung pada sokongan dan kerja kuat ahli Exco yang dipilih yang tentunya serasi dan sejajar dengan kehendak pemimpin atasan terutama MB yang melantik mereka. Justeru, empat Exco PKR, tiga Pas dan tiga DAP yang baru dilantik diharap mampu membantu MB yang baharu.

Apa yang ditunggu oleh rakyat hanyalah kesejahteraan hidup, pembangunan mesra rakyat, pentadbiran cekap dan amanah, dan tiada lagi pergolakan dan perselisihan politik yang merugikan parti serta rakyat.

Semua itu sepatutnya menjadi pengajaran dan iktibar kepada pemimpin parti yang terlibat. Penyatuan dan persefahaman antara pemimpin dan rakyat boleh diwujudkan jika pemimpin memahami kehendak rakyat. Jadikan krisis MB sebagai pengalaman berguna untuk semua.

Rakyat sedang menunggu dan memerhati perubahan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

  • Video Pilihan

  • Gambar Pilihan

  • Post Terkini

  • Arkib

  • RSS Free Malaysia Today

  • RSS Utusan Malaysia

  • RSS Roket Kini

  • NetworkBlogs

  • Alexa Rank

  • Jumlah Pelawat

    • 1245920Total visitors:
  • Skip to toolbar