GST: Malangnya Kita Punya K’jaan Pemalas, Kata Mahfuz

October 31, 2014 by Suara Kebenaran

Category: politik

KUALA LUMPUR: Kerajaan didesak membuka mata dan telinga dalam mendengar keluhan rakyat dan kritikan dari pihak berpengalaman berhubung perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kata Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Terbaru katanya, desakan dari bekas Menteri Kewangan Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah semalam yang menyeru Putrajaya menangguhkan pelaksanaan GST kerana bimbang dengan prospek ekonomi negara.

“Beliau seorang yang berpengalaman. Ia satu penegasan yang cukup tegas daripada bekas menteri kewangan.

“Kerajaan tidak boleh sekadar memekakkan telinga,” katanya kepada Harakahdaily.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, desakan Tengku Razaleigh itu juga senada dengan kebimbangan yang dizahirkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, bahawa negara tidak akan mencapai status negara maju jika mengejar negara berpendapatan tinggi.

Mahfuz berkata, kerajaan sebenarnya gagal dalam mencari sumber pandapatan baharu selain minyak, yang tidak membebankan rakyat sehingga terpaksa mengenakan GST.

Menurut beliau lagi, dengan angka 7.9 juta rakyat Malaysia layak menerima Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M), ia juga memberi gambaran bahawa hasil limpahan pendapatan dari sumber minyak negara, gagal untuk melonjakkan pendapatan rakyat.

Apa yang berlaku ujarnya, rakyat dimangsakan oleh kerajaan BN yang lemah dalam pengurusan kewangan negara, termasuk ketirisan wang berbilion ringgit.

“Mereka tak berusaha untuk tutup ketirisan, tetapi mereka mengambil jalan mudah memperkenalkan GST agar rakyat yang mengambil tanggungjawab menampung wang yang hilang akibat kelemahan mereka.

“Sebab itu pada saya, apa yang kita ada sekarang adalah sebuah kerajaan yang pemalas. Malas untuk fikir sumber baharu yang tidak membebankan rakyat,” katanya.

Semalam, Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang menggesa kerajaan menangguhkan perlaksanaan GST.

Beliau berkata kerajaan memekakkan telinga dan enggan mendengar rintihan rakyat.

“Besar kemungkinan pelaksanaan GST pada tahun hadapan akan menambahkan lagi tekanan terhadap kos sara hidup walaupun kesannya sekali sahaja kerana ia diserap oleh keseluruhan sistem ekonomi.

“Demi melegakan beban kewangan rakyat yang semakin meningkat, mungkin GST ini boleh ditangguh sehingga keadaan ekonomi meningkat ke tahap yang lebih kukuh dan kuat,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/10/2014

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

  • Video Pilihan

  • Gambar Pilihan

  • Post Terkini

  • Arkib

  • RSS Free Malaysia Today

  • RSS Utusan Malaysia

  • RSS Roket Kini

  • NetworkBlogs

  • Alexa Rank

  • Jumlah Pelawat

    • 1276267Total visitors:
  • Skip to toolbar