Tiada Niat Panjang Kemelut Pas-DAP

March 31, 2015 by Suara Kebenaran

Category: politik

IPOH – Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming menafikan mempunyai niat tersembunyi dan berhasrat memanjangkan kemelut dengan Pas dengan memuat naik poster di laman Facebooknya yang didakwa berbaur sindiran terhadap Pas.
Katanya, tindakan itu sekadar memberi nasihat kepada ahli Pas agar memilih pemimpin terbaik demi survival PR.
“Niat saya ikhlas dan sebagai rakan, saya yakin ahli Pas mempunyai kebijaksanaan untuk memilih pemimpin yang terbaik demi masa depan PR,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta  mengulas tentang tindakan memuat naik poster berbaur sindiran terhadap Pas di laman Facebook miliknya, baru-baru ini.
Kor Ming berkata, tindakan itu juga bebas maksud tersirat selain lebih berbentuk nasihat yang menjurus ke arah kebaikan dan kelangsungan Pas dalam komponen PR.
“Segala saranan adalah demi kebaikan Pas dan sebagai rakan seperjuangan maka pimpinan dan akar umbi parti tersebut boleh merenung saranan (poster) saya dari sudut sebagai seorang kawan.
“Tanpa PR, Pas dan DAP sendiri tidak akan berjaya menakluki Putrajaya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Kor Ming berkata, beliau juga yakin tindakannya tidak akan menimbulkan kontroversi dan memanjangkan kemelut antara pihak DAP dan Pas.

“Tulisan pada poster itu bersifat umum selain tidak menjurus atau menyerang mana-mana individu dan lebih berbentuk nasihat sepertimana ditegaskan,” katanya.
Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria pula berkata, tindakan Kor Ming itu dilihat tidak bijak dan mampu mengundang kemarahan pimpinan dan akar umbi Pas.
“Saya melahirkan perasaan amat kesal dengan tindakan tidak bijak itu dan diingatkan bahawa tidak mungkin anasir luar boleh mencorak Pas walau dengan apa cara sekalipun,” katanya.
Beliau berkata, gambar dan tulisan yang terpampang di poster tersebut juga boleh menimbulkan kekeliruan dan persoalan dalam kalangan masyarakat khasnya penyokong PR.
“Daripada tulisan dan gambar itu banyak sudut pandang yang boleh dibuat interpretasi oleh orang ramai terutamanya yang menyokong PR,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya turut yakin Pas akan kekal utuh meskipun pelbagai cabaran terpaksa dihadapi parti itu dalam menegakkan agama Islam sebagai asas perjuangan.
“Pegangan akar umbi Pas sejak sekian lama tidak mungkin boleh dirobek dengan sekelip mata kerana mereka yang ditarbiahkan atau dilatih dengan kefahaman Islam itu tahu betapa pentingnya menghormati perjuangan berlandaskan agama,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

  • Video Pilihan

  • Gambar Pilihan

  • Post Terkini

  • Arkib

  • RSS Free Malaysia Today

  • RSS Utusan Malaysia

  • RSS Roket Kini

  • NetworkBlogs

  • Alexa Rank

  • Jumlah Pelawat

    • 1276083Total visitors:
  • Skip to toolbar