PAS Desak Bank Negara Segera Dedah Identiti Pasukan Petugas Khas 1MDB

July 31, 2015 by Caspian

Category: politik

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pendedahan identiti pasukan petugas khas 1MDB penting bagi membolehkan pasukan berkenaan dilindungi dan terus mendapat sokongan rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insider, 30 Julai, 2015.

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz segera mendedahkan identiti pasukan petugas khas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi memastikan mereka bebas menjalankan siasatan.

Timbalan presiden PAS itu berkata, pendedahan itu penting bagi membolehkan pasukan berkenaan dilindungi dan terus mendapat sokongan rakyat.

“Saya ingin mengulang gesaan saya kepada Tan Sri Zeti agar mendedahkan semua identiti para penyiasat di pasukan petugas khas kepada pihak awam dengan kadar segera.

“Dengan pendedahan itu, sebarang tindakan kepada mana-mana penyiasat pasukan petugas khas yang sudah diketahui umum pada waktu ini akan mendatangkan kesan buruk pada kerajaan kerana ia hanya menguatkan persepsi bahawa segala tuduhan ke atas 1MDB dan juga perdana menteri adalah benar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tuan Ibrahim berkata pasukan petugas khas mula diganggu dengan tuduhan dan khabar angin yang bakal mengganggu kelancaran penyiasatan ke atas skandal 1MDB.

Katanya, ura-ura yang sedang melanda Zeti selepas kemunculan blog misteri ekoran pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Abdul Gani Patail adalah buktinya.

“Mereka yang menyiasat kini dilihat menjadi sasaran siasatan yang tidak tahu lagi hujung pangkal tuduhannya.

“Peristiwa sabotaj dengan memecat salah seorang penyiasat seperti Gani dan memindahkan 4 ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) ke Kabinet tatkala siasatan sedang rancak dilakukan tidak boleh dibiarkan berulang lagi,” katanya.

BNM hari ini menafikan khabar angin Zeti meletak jawatan sebagai gabenor bank pusat sebagai mana yang tersebar dalam media tempatan dan akhbar kewangan.

“Ia tidak benar,” katanya memetik laporan Reuters.

BNM juga menafikan Zeti, 67, menderita sakit jantung.

“Beliau sihat dan kembali bertugas seperti biasa,” kata jurucakap BNM kepada The Star.

Portal Malaysia Gazette melaporkan Zeti dikatakan tidak hadir di pejabatnya pada pagi Isnin, namun memulakan tugas di pejabat pada sebelah petang.

Zeti sehari dua ini juga menghadiri pelbagai mesyuarat dalaman BNM, sekali gus menafikan khabar angin bahawa beliau dalam keadaan tidak sihat, lapor Astro Awani.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

  • Video Pilihan

  • Gambar Pilihan

  • Post Terkini

  • Arkib

  • RSS Free Malaysia Today

  • RSS Utusan Malaysia

  • RSS Roket Kini

  • NetworkBlogs

  • Alexa Rank

  • Jumlah Pelawat

    • 1245920Total visitors:
  • Skip to toolbar