Tiada Siasatan 1MDB Sehingga Pengerusi PAC Baharu Dilantik, Kata Speaker

July 31, 2015 by Caspian

Category: politik

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, mesyuarat rutin PAC juga tidak boleh diadakan bagi mengelakkan sebarang pertikaian atau isu berbangkit mengenai kesahihan prisiding pada masa akan datang ketika kerusi pengerusi tidak diisi. – Gambar fail The Malaysian Insider, 30 Julai, 2015.

Prosiding siasatan skandal kerugian RM42 bilion syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak boleh diteruskan sehingga pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara Awam (PAC) yang baharu dilantik menggantikan Datuk Nur Jazlan Mohamad, kata Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Speaker Dewan Rakyat itu dipetik laporan portal BNBBC berkata, mesyuarat rutin PAC juga tidak boleh diadakan bagi mengelakkan sebarang pertikaian atau isu berbangkit mengenai kesahihan prisiding pada masa akan datang ketika kerusi pengerusi tidak diisi.

Katanya, walaupun Peraturan Mesyuarat 77 (3) membolehkan seseorang ahli jawatankuasa (AJK) PAC mempengerusikan mesyuarat menggantikan pengerusi atau naib pengerusi, namun ia hanya terpakai dalam hal dua jawatan tertinggi itu tidak dapat hadir atas sebab uzur atau sebab tertentu lain, dan bukannya atas sebab pengosongan jawatan.

Nur Jazlan pada Selasa lalu dilantik timbalan menteri dalam negeri dalam rombakan Kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang turut menyaksikan penyingkiran timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pandikar berkata, mesyuarat PAC juga tidak boleh diteruskan dengan ketiadaan tiga anggotanya yang menyertai Kabinet iaitu Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Datuk Mas Ermiyati Samsudin, Datuk Wilfred Madius Tangau, dan kekosongan itu katanya perlu diisi segera.

Beliau berkata sedemikian, menyanggah kenyataan timbalan pengerusi PAC Dr Tan Seng Giaw daripada DAP jawatankuasa bebas itu akan meneruskan pendengaran 1MDB seperti yang dijadualkan walaupun kehilangan empat ahlinya.

Dr Tan dilaporkan berkata, korum yang ada masih mencukupi mengikut Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat dan dirinya boleh mengambil alih peranan pengerusi.

PAC dijadualkan memanggil presiden dan pengarah eksekutif kumpulan 1MDB Arul Kanda Kandasamy serta bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi pada 4 dan 5 Ogos ini.

Manakala bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Hazem Abdul Rahman yang berkhidmat dari Mac 2013 hingga Januari 2015 dipanggil pada keesokannya.

Semalam, Nur Jazlan berkata, semua prosiding PAC untuk Ogos termasuk siasatan terhadap 1MDB akan diberhentikan buat sementara waktu disebabkan lantikan kabinet dan hanya akan diteruskan selepas AJK baharu diumumkan pada persidangan Dewan Rakyat akan datang pada Oktober.

Tetapi Dr Tan menafikannya dan berkata, Nur Jazlan tidak berhak bercakap bagi pihak PAC kerana beliau kini tidak lagi menganggotai PAC.

Klausa 83 (3) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat menyatakan kuorum jawatankuasa Parlimen ialah 3 orang.

Jawatankuasa Parlimen bi-partisan itu sebelum ini mempunyai 13 ahli, terdiri daripada 8 wakil rakyat Barisan Nasional dan lima pembangkang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

  • Video Pilihan

  • Gambar Pilihan

  • Post Terkini

  • Arkib

  • RSS Free Malaysia Today

  • RSS Utusan Malaysia

  • RSS Roket Kini

  • NetworkBlogs

  • Alexa Rank

  • Jumlah Pelawat

    • 1245920Total visitors:
  • Skip to toolbar