UM Ingatkan Pelajar Tak Terlibat Himpunan Haram Bersih 4

August 27, 2015 by Caspian

Category: politik

 Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) UM memberi amaran kepada pelajar universiti tersebut supaya tidak terlibat dan menyertai himpunan haram Bersih 4 yang akan diadakan hujung minggu ini di sekitar Kuala Lumpur. – Gambar fail The Malaysian Insider, 27 Ogos, 2015.

 

Mahasiswa Universiti Malaya (UM) diingatkan agar tidak terlibat dan menyertai himpunan haram Bersih 4 yang akan diadakan hujung minggu ini di sekitar Kuala Lumpur.

Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) UM berkata mahasiswa universiti tersebut dilarang menyertai himpunan dua hari itu kerana sudah diisytiharkan haram dan tidak mendapat permit daripada pihak berkuasa.

“Pihak universiti mengambil berat mengenai keselamatan dan masa depan para pelajar dan bimbang ia akan mendatangkan masalah.

“Oleh demikian, pelajar diingatkan untuk tidak terlibat atau menyertai perhimpunan tersebut sama ada secara langsung atau tidak langsung,” menurut pekeliling itu yang dimuat naik di laman Facebook HEP UM.
Semalam, penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) diingatkan agar tidak terlibat dengan perhimpunan haram Bersih 4 hujung minggu ini jika tidak mahu berdepan dengan tindakan tatatertib.

Naib Canselor UiTM Tan Sri Prof Sahol Hamid Abu Bakar ketika memberikan amaran itu berkata, setiap penuntut tertakluk kepada undang-undang universiti dan mereka akan dikenakan tindakan mengikut peraturan sedia ada.

Sahol turut menasihatkan semua penuntut UiTM supaya tidak melibatkan diri dengan mana-mana aktiviti yang diharamkan kerajaan, sebaliknya fokus dengan pengajian mereka.

“Jika ada mana-mana penuntut UiTM dibuktikan terlibat dengan perhimpunan (yang polis klasifikasi) haram itu, mereka boleh diambil tindakan sehingga digantung pengajian mengikut tahap kesalahan.

“Golongan ini hanya memburukkan nama universiti sedangkan mereka sebenarnya terikut-ikut dengan maklumat yang diterima tanpa usul periksa dan membuat andaian sendiri menggunakan ilmu pengetahuan yang cetek,” katanya.

Sahol berkata penuntut tidak dihalang menyuarakan sebarang pandangan atau pendapat namun perlu dibuat menerusi kaedah yang betul dan bukan secara jalanan sehingga membelakangkan undang-undang yang ditetapkan.

Katanya, tindakan pihak tidak bertanggungjawab mengajak mahasiswa menyertai demonstrasi tersebut adalah tidak wajar kerana ia memberi kesan buruk kepada masa depan penuntut itu sedangkan mereka berada pada landasan yang betul untuk berjaya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

  • Video Pilihan

  • Gambar Pilihan

  • Post Terkini

  • Arkib

  • RSS Free Malaysia Today

  • RSS Utusan Malaysia

  • RSS Roket Kini

  • NetworkBlogs

  • Alexa Rank

  • Jumlah Pelawat

    • 1276081Total visitors:
  • Skip to toolbar