Umno Silap Langkah Jika Bertindak Terhadap Saifuddin, Kata Pemerhati

September 29, 2015 by Caspian

Category: politik

download (8)

 

Umno menutup ruang demokrasi dalam parti jika tindakan diambil ke atas ahli yang berbeza pandangan, kata pemerhati, selepas Datuk Saifuddin Abdullah diberikan surat tunjuk sebab baru-baru ini kerana menghadiri pelancaran Pakatan Harapan.

Penganalisis politik Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff berkata, silap langkah jika Umno dilihat menyekat kebebasan ahlinya untuk mengambil bahagian dalam aktiviti luar parti.

“Umno menutup ruang demokrasi untuk ahlinya, terutama terlibat dalam aktiviti bersama badan bukan kerajaan (NGO) yang berbeza pandangan dengan parti,” kata pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu kepada The Malaysian Insider.

“Ruang keterbukaan untuk ahli berkreatif dan berkarya di luar kelompok Umno yang tidak menjejaskan parti saya rasa harus dibenarkan,” katanya.
Agus berkata, Umno akan kehilangan aset jika memecat Saifuddin walaupun beliau kini tidak lagi memegang jawatan dalam parti atau kerajaan.

Saifuddin sebelum ini merupakan timbalan menteri pengajian tinggi, ahli Majlis Tertinggi Umno dan ahli Parlimen Temerloh.

Bagaimanapun beliau gagal mempertahankan kerusi Parlimen Temerloh pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dan kalah dalam pemilihan Umno menyebabkan beliau kini hanya ahli biasa.

“Saya rasa kalau Umno buang Saifuddin, maka mereka buang seorang yang boleh menarik pengundi dan penyokong liberal kerana beliau merupakan simbol seorang pemimpin sederhana dalam Umno.

“Membuang beliau bererti mereka kekurangan daripada segi itu,” kata Agus dan menambah undi Melayu saja tidak cukup bagi Umno untuk mengekalkan kuasa.

Namun, ahli Umno di peringkat akar umbi mempunyai pelbagai pandangan berhubung tindakan terhadap Saifuddin yang juga ketua pegawai eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) itu.

“Ia mendatangkan fitnah dan memberi reputasi yang tidak baik kepada parti,” kata Naib Ketua Umno Bahagian Kota Raja Mohd Hamidi Abu Bakar kepada The Malaysian Insider.

Sementara itu, aktivis veteran Umno Pokok Sena, Mohd Ramli Yunus pula menganggap tindakan dikenakan ke atas Saifuddin akan memberikan kesan buruk kepada parti.

Katanya, ia akan menunjukkan kepada masyarakat umum seolah-olah ahli Umno tidak mempunyai hak bersuara untuk menyatakan pandangan kedua.

“Tidak wajar untuk mengambil tindakan ke atas Saifuddin, apa salahnya beliau ke program untuk kepentingan rakyat?

“Beliau hadir atas platform NGO yang diwakilinya dan hanya menghadiri sidang meja bulat membincangkan isu berkaitan negara dan kepentingan rakyat,” kata Ramli kepada The Malaysian Insider.

Ramli berkata, bekas ketua penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar turut hadir ke sidang meja bulat pada 22 September tetapi parti Islam itu tidak menghukumnya.

Beliau turut menolak tindakan Saifuddin menghadiri program pembangkang merosakkan reputasi Umno.

“Itu tidak boleh dijadikan ukuran, bagaimana pula dengan pimpinan Umno dan kerajaan yang mengadakan lawatan ke China.

“Adakah mereka ini juga boleh dianggap sebagai menjejaskan reputasi parti kerana turut serta dalam program negara Komunis?,” soal Ramli.

Sementara itu, Agus menolak dakwaan Umno mengamalkan “double standard” dengan mengambil tindakan terhadap Saifuddin tetapi membenarkan pemimpin lain bertemu PAS.

“Itu bukan mesyuarat yang terbuka, Saifuddin itu dilihat terbuka dan dilihat sebagai berlawan arus kehendak parti.

“Bukankah Pakatan Harapan ini seteru utama Umno,” katanya.

Semalam Saifuddin memberitahu pemberita di Kuala Lumpur beliau masih lagi belum menerima surat tunjuk sebab daripada Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

  • Video Pilihan

  • Gambar Pilihan

  • Post Terkini

  • Arkib

  • RSS Free Malaysia Today

  • RSS Utusan Malaysia

  • RSS Roket Kini

  • NetworkBlogs

  • Alexa Rank

  • Jumlah Pelawat

    • 1243453Total visitors:
  • Skip to toolbar