PKR Gesa Tabung Haji Henti Kelirukan Rakyat

January 29, 2016 by Caspian

Category: politik

Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli menggesa kepimpinan Lembaga Tabung Haji berhenti mengelirukan rakyat dengan berselindung di belakang terma-terma kewangan yang cuba menyembunyikan perkara sebenar. – Gambar fail The Malaysian Insider, 29 Januari, 2016.

 

PKR memberi amaran kepada Lembaga Tabung Haji agar tidak berselindung daripada fakta sebenar mengenai krisis yang melanda mereka.

Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli berkata, penyata kewangan yang diaudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014 jelas menunjukkan rizab Tabung Haji negatif.

“Ini bermakna ia tidak cukup dana dan aset untuk menampung pembayaran balik simpanan rakyat sekiranya dikeluarkan serentak, apatah lagi untuk membayar dividen/bonus.

“Saya berharap kepimpinan Tabung Haji berhenti mengelirukan rakyat dengan berselindung di belakang terma-terma kewangan yang cuba menyembunyikan perkara sebenar,” kata ahli Parlimen Pandan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Rafizi bekata, jika benar kedudukan kewangan Tabung Haji kukuh, beliau menggesa lembaga itu mengadakan satu taklimat terbuka kepada pendeposit di seluruh negara dengan segera.

“Saya akan hadir sebagai salah seorang pendeposit kerana separuh daripada simpanan hari tua saya adalah di dalam Tabung Haji,” katanya.

Menurut Rafizi, sehingga kini beliau masih menunggu jawapan daripada Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Pengarah Urusan Kumpulan Tan Sri Ismee Ismail mengenai dakwaan rizab lembaga itu sebenarnya sudah menjadi negatif sejak tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014 lagi.

“Mengambil kira prestasi Bursa Kuala Lumpur yang tidak memberangsangkan dalam 2015, sudah tentu kedudukan rizab negatif ini adalah lebih buruk bagi 2015.

“Kenyataan saya (sebelum ini) itu tidak disanggah malah keseluruhan kepimpinan kerajaan dan Tabung Haji mengelak dari menjawabnya,” katanya yang kesal kerana Azeez masih membisu.

Rafizi turut menyertakan laporan kewangan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014, aset (bersendirian) adalah RM54.751 bilion, sementara aset kumpulan Tabung Haji (digabungkan dengan anak-anak syarikat) adalah RM107.038 bilion.

“Nilai aset anak-anak syarikat Tabung Haji adalah RM52.287 bilion (iaitu RM107.038 bilion tolak RM54.751bilion).

“Dan alasan inilah yang digunakan kononnya anak-anak syarikat Tabung Haji mempunyai aset yang besar sebanyak RM52.287 bilion yang mampu menampung rizab Tabung Haji yang negatif.

“80% daripada aset anak syarikat yang digabungkan di dalam kumpulan Tabung Haji (iaitu RM41.683 bilion daripada RM52.287 bilion) adalah terdiri daripada ‘Securities available-for-sale’ dan ‘Financing’ iaitu 2 kategori aset terbesar Bank Islam.

“Ini bermakna 80% daripada aset anak syarikat yang kukuh sebagaimana diuar-uarkan mampu membantu rizab Tabung Haji yang negatif itu datangnya daripada Bank Islam,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

  • Video Pilihan

  • Gambar Pilihan

  • Post Terkini

  • Arkib

  • RSS Free Malaysia Today

  • RSS Utusan Malaysia

  • RSS Roket Kini

  • NetworkBlogs

  • Alexa Rank

  • Jumlah Pelawat

    • 1263703Total visitors:
  • Skip to toolbar