Kenapa Hanya Kenakan Tindakan Kepada Pembangkang?

June 30, 2016 by Caspian

Category: politik

 Wan Azizah Wan Ismail

 

Penahanan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bersabit isu banglo yang dibelinya menimbulkan pelbagai reaksi pemimpin pembangkang yang mengecam perbuatan itu.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, PKR kesal dengan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang didakwa membuat tangkapan sewaktu Guan Eng sedang mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri di Komtar, semalam.

Menurut Wan Azizah, pihaknya berpendapat bahawa penahanan pada petang semalam adalah tidak wajar memandangkan kehadiran anggota yang begitu ramai pada mesyuarat berkenaan menggambarkan seolah-olah Guan Eng seperti seorang penjenayah merbahaya.

“Guan Eng sebelum ini telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak SPRM dan tindakan penahanan sedemikian adalah tidak wajar.

“Penangkapan dan pendakwaan Guan Eng mengukuhkan persepsi rakyat bahawa wujud satu usaha sistematik dan terancang untuk menakut-nakutkan dan mengganggu pimpinan politik tertinggi pembangkang sebelum tibanya Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14),” katanya menerusi satu kenyataan kepada media.

[ARTIKEL BERKAITAN: Kes banglo: SPRM digesa siasat dengan telus]

Semalam media melaporkan Guan Eng ditahan SPRM sebaik habis mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri di Komtar.

Guan Eng dibawa sepasukan anggota penguat kuasa ke pejabat SPRM di Jalan Sultan Ahmad Shah Georgetown kira-kira jam 6.20 petang dengan menaiki kereta milik kerajaan negeri.

Selain itu, Wan Azizah turut mempersoalkan tindakan SPRM yang hanya mengenakan tindakan kepada pembangkang manakala mereka yang berada di pihak kerajaan serta terlibat dalam skandal kewangan terbesar dapat menikmati kekebalan di sisi undang-undang.

“Oleh itu, PKR menggesa pihak SPRM melengkapkan siasatan dan membawa ke muka pengadilan mereka yang terlibat dalam skandal-skandal kewangan tersebut agar terbukti tahap profesionalisme badan berkenaan dan tidak timbul persepsi di khalayak umum bahawa berlakunya pendakwaan terpilih dan terancang,” katanya.

Dalam pada itu, Parti Amanah Negara (Amanah) turut berharap agar Guan Eng dapat diadili sebaik-baiknya di mahkamah terbuka selepas beliau ditahan oleh SPRM semalam.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata, pihaknya berharap agar pasukan pembela dapat melakukan pembelaan terbaik ke atas Guan Eng yang juga merupakan Setiausaha Agung DAP.

“Tiba-tiba dalam bulan Ramadan Guan Eng ditangkap dan akan didakwa atas kes rasuah. Dakwaan terpilih sentiasa berulang kali berlaku di Malaysia,” katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan kepada media.

Sebelum ini, Guan Eng telah dipanggil memberi keterangan di Pejabat SPRM Pulau Pinang bagi membantu siasatan terhadap kes pembelian banglonya di Jalan Pinhorn yang mencetuskan kontroversi setelah dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya ketika Sidang Dewan Rakyat April lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

  • Video Pilihan

  • Gambar Pilihan

  • Post Terkini

  • Arkib

  • RSS Free Malaysia Today

  • RSS Utusan Malaysia

  • RSS Roket Kini

  • NetworkBlogs

  • Alexa Rank

  • Jumlah Pelawat

    • 1245920Total visitors:
  • Skip to toolbar