Henti Polemik Isu Air Selangor

November 30, 2016 by Caspian

Category: politik

Dr Dzulkefly Ahmad

 

DI sebalik kontroversi melanda kerajaan negeri berkaitan pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings (Splash), Panel Air Selangor menggesa bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim agar berhenti memanjangkan polemik itu kerana akan ditanggapi banyak pihak sebagai hanya mahu ‘menegakkan benang basah’.

Ia berikutan dakwaan beliau bahawa Kerajaan Selangor telah bersetuju menawarkan RM2.7 bilion untuk pengambilalihan tersebut. Jelasnya, perkara itu tidak benar. Kerajaan Selangor masih lagi dalam proses menimbang tawarannya secara muktamad, setelah menerima dapatan maklum balas dari khidmat Panel Penilai Bebas dan meneliti cadangan Panel Air Selangor.

Tindakan Abdul Khalid turut dilihat seolah-olah beliau dipergunakan oleh BN bagi terus mempolemikkan isu itu, sekaligus menampakkan kelemahan dalam pentadbiran Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Wartawan MARLIA ZAKARIA dan jurufoto, ASRIL ASWANDI SHUKOR menemu bual ahli Panel Air Selangor, yang juga Pengarah Strategi Amanah, Dr Dzulkefly Ahmad, bagi mendapatkan penjelasan mengenai isu tersebut.

Boleh ceritakan serba sedikit latar belakang penstrukturan air?

Kebetulan saya adalah ahli Panel Air sejak ia ditubuhkan bekas menteri besar dalam sesi Parlimen ke-12, selain Tony Pua (Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara), Charles Santiago (Ahli Parlimen Klang), William Leong (Ahli Parlimen Selayang) dan R Sivarasa (Ahli Parlimen Subang). Rafizi Ramli (Ahli Parlimen Pandan) dan kemudiannya Ir Haslin Hassan (Adun Tanjung Sepat) adalah ahli baru dalam sesi Parlimen ke-13.

Panel ini ditubuhkan untuk menangani persoalan dan agenda penstrukturan air yang setelah kami ambil alih (Pakatan Rakyat ketika itu), perlu diselesaikan tentang pengambilalihan semula aset-aset konsesi.

Penstrukturan air ini adalah langkah kerajaan mengatasi kegagalan penswastaan air yang berakhir dengan situasi, di mana setiap negeri mengalami apa yang dikatakan sebagai ketidakselarasan yang merawat dan yang mengedar (syarikat konsesi), khususnya di Selangor.

Kita ada empat konsesi yang merawat air iaitu Puncak Niaga, Abbas dan Splash, manakala yang mengedar air adalah Syabas. Kebetulan Puncak Niaga Holding Berhad milik Tan Sri Rozali Ismail, memiliki kedua-duanya, Puncak Niaga Sdn Bhd yang merawat air dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas). Splash milik Gamuda Bhd dengan pegangan ekuiti 40 peratus manakala Tan Sri Wan Azmi Wan Hamzah melalui syarikatnya, The Sweet Water Alliance Sdn Bhd sebanyak 30 peratus serta Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) sebanyak 30 peratus. Itu merupakan ekuiti atau struktur pemilikan saham dalam Splash.

Proses ini dah mengalami satu rundingan terlalu lama sejak era Tan Sri Abdul Khalid lagi dan kerana tidak dapat dirumuskan dan dimeterai perjanjian itu semua.

Ketika sesi Parlimen ke-13 di bawah Datuk Seri Mohamed Azmin, ia bersambung sebenarnya dan telah dilalui lebih awal daripada kerajaan BN di bawah Dr Mohamad Khir Toyo. Ada perkara-perkara yang sudah mahu dirumuskan tetapi tidak diputus. Jadi kami yang meneruskan rundingan itu.

Ketika apa yang dikatakan sebagai Akta 655 (Akta Industri Perkhidmatan Air 2006) atau WSIA yang diluluskan oleh Parlimen di Dewan Rakyat. Begitulah bermulanya bagaimana kerajaan melalui WSIA itu dan semua negeri melakukan apa yang dikatakan penstrukturan air.

Apa penjelasan tentang situasi ini?

Penstrukturan air ini akan menyaksikan aset-aset air yang dipegang pihak konsesi perlu digabungkan oleh kerajaan negeri dan akan diserahkan kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB). Maknanya industri yang dianggap fragmented atau yang tidak selaras kerana ada yang merawat air dan mengedar. Mereka (Kerajaan Persekutuan) nak sekalikan.

Jadi, satu yang baik daripada Kerajaan Persekutuan, maka semua aset air akan digabungkan dan diserahkan kepada PAAB. Perjanjian konsesi yang contohnya Splash yang akan berakhir pada 2029 dan ada 13 tahun lagi. Semua pemegang konsesi atau perjanjian konsesi akan ditamatkan dan kerajaan akan ambil alih semua aset-aset ini dengan membayar melalui PAAB.

Berapa pun jumlah yang perlu dikenal pasti, selepas itu kerajaan akan buat keputusan untuk menentukan pihak manakah yang akan diberi lesen mengendalikan empat konsesi termasuk Splash yang mengendalikan rawatan dan pengedaran air.

Sejak awal saya kira ada empat tawaran yang dibuat oleh Tan Sri Abdul Khalid kepada pemegang konsesi sejak 2009 kepada semua konsesi sama ada Abbas, Syabas, PHNB dan Splash. Ada-ada saja gendalanya contohnya ketika Splash bersetuju dengan tawaran A, Syabas dengan Puncak Niaga pula tidak bersetuju. Ia mesti atas prinsip willing buyer and willing seller. Kalau satu pihak tak setuju bermakna tak boleh buat.

Akhirnya beliau (Abdul Khalid) berjaya menamatkan rundingan dengan tiga pemilik konsesi itu dan Disember 2013 ketika beliau masih lagi Menteri Besar, di parlimen ke-13, ketika itulah gabungan tawaran yang dibuat oleh Abdul Khalid diterima oleh Syabas, PNSB dan Abbas dengan catatan angka diterima Syabas adalah RM3.12 bilion, PNSB (RM2.48 bilion) dan (RM990.2 juta) untuk Abbas.

Proses pengambilalihan ketiga-tiga konsesi ini tidak mencetuskan kontroversi seperti mana Splash. Komen Dr?

Kenapa Splash alami nasib agak malang? Kita kena ingat ketika bulan Julai dan tawaran kedua di mana Abdul Khalid menawarkan kepada Splash sejumlah RM2.975 bilion yang bahagian ekuitinya itu adalah RM1.579 bilion serta nilai liabiliti atau hutang-hutangnya dalam bentuk bon dan sebagainya adalah RM1.396 bilion.

Dengan kata lain, beliau pernah membuat tawaran yang dibuat kepada Splash pada 25 Jun 2009 dan seterusnya, 19 Julai 2009. Saya lihat sendiri dokumen dan surat itu yang bernilai RM2.975 bilion dengan jelas termasuk dengan nilai ekuiti. Jadi tawaran itu secara on record, berfakta yang pernah ditawarkan beliau.

Ketika itu juga Syabas dan Puncak Niaga tidak setuju dengan tawaran kepada mereka. Ia mesti digabungkan sekali kerana mereka mahukan kerajaan negeri kendalikan semua pengambilan aset-aset ini dan serahkan kepada mereka (Kerajaan Persekutuan) serentak dan bersekali. Mereka tak puas hati apabila ditawarkan satu angka rendah yang mereka tak puas hati. Tetapi masa itu Splash okey pula.

Apa pun sebab yang diperhitungkan oleh Abdul Khalid, tawarannya kemudian dah macam terbalik di mana Splash hanya mendapat RM1.83 bilion lalu tawaran itu ditolak Splash. RM1.83 bilion itu akan meletakkan kedudukan Splash setelah ditolak liabilti atau hutang pinjaman seperti bon, hanya dapat RM250.6 juta itu sebagai bayaran ekuiti.

Pada ketika itulah Splash tanya, kenapa jadi macam ni memandangkan pada Julai 2009 mereka ditawarkan ekuiti seperti yang disebutkan tadi tapi kemudiannya berdepan situasi yang mereka dibayar hanya RM250.6 juta kerana RM1.83 bilion akan ditolak hutang dan sebagainya.

Jadi, di situlah bermulanya pertikaian?

Ya. Itu puncanya. Kalau saya nak lanjutkan lagi penjelasan tak ramai yang akan faham sebab perkara ini rumit, melibatkan istilah-istilah kewangan yang teknikal seperti nilai buku, ROE dan lain lain.

Pertikaian wujud kerana Syabas dan Puncak Niaga dibayar hampir sekali harga nilai buku tetapi Abdul Khalid menggunakan pula kaedah ‘Return on Equity’ dalam perkiraan untuk Splash. Maka terbit harga RM250 juta untuk bayaran ekuiti Splash yang dirasakan mereka amat tidak adil. Panel Air sedar bahawa pertikaian ini bukan mudah untuk dirumuskan dan amat kompleks.

Abdul Khalid tidak harus memberi faham bahawa dia sahaja yang tahu dan MB hari ini tak faham angka-angka beliau dulu. Panel Air tahu dan MB sendiri punya penasihat kewangannya.

Bahkan untuk benar-benar mencapai satu harga Fair Value apa jua kaedah yang digunakan, sukar untuk merumuskan satu kaedah yang sama untuk semua konsesi atau one size fits all. Pelbagai faktor perlu diambil kira seumpama terma-terma konsesi, pengkorporatan entiti serta pengaruh individu terlibat dan sebagainya. Penentuan goodwill satu hal juga.

Timbul pertikaian kerana Abdul Khalid telah buat satu kenyataan yang jelas menunjukkan dalam Dewan Undangan Negeri bahawa Menteri Besar (Mohamed Azmin) atau kerajaan negeri sudah buat keputusan untuk membayar Splash yang ekuitinya sahaja ialah RM2.7 bilion. Katanya ia sudah menjadi 10 kali ganda apa yang saya nak bayar dengan hanya RM250 juta dahulu.

Kami difahamkan bahawa angka itu bukanlah angka kerajaan negeri tetapi cadangan Splash kepada kerajaan negeri dan kerajaan pusat. Sebab dalam pemikiran mereka, ia adalah angka yang dirasakan munasabah dan adil untuk mereka dibayar balik pampasan berbanding yang lain. Malah, seperti yang dilaporkan sebelumnya jumlah itu berserta dengan diskaun lebih kurang RM500 juta (15 peratus) menjadikan ia RM2.72 bilion dari asalnya RM3.2 bilion. Pun begitu, perkara ini belum diputuskan.

Kerajaan negeri telah melantik penilai bebas sebelumnya dan terkini, kerajaan pusat. Apakah lantikan tersebut ekoran kontroversi yang terjadi?

Saya kira begitu. Walau pun ia melibatkan kos, tapi tak mengapa. Pokoknya, dua-dua ada penilai bebas itu sudah dikira langkah yang baik untuk mencari penyelesaian yang adil. Bagi saya ketelusan adalah penting selain keadilan. Kita nak mempertahankan hak rakyat dan pengguna manakala dalam masa sama kita tak pula mahu melakukan kezaliman atau ketidakadilan kepada pihak konsesi. Pihak konsesi mesti dilayan dengan setara atas prinsip yang sama. Sebaliknya, mereka juga mesti mengakui bahawa terma konsesi ini diberikan kepada mereka dengan terma yang baik kalau tidak mewah atau lumayan dahulu.

Apakah cabaran dan halangan yang bakal berlaku selepas ini? Mungkinkah kerajaan negeri mampu memberi tawaran yang lebih rendah?

Ya, itu satu kemungkinan. Tetapi kerajaan negeri mesti berani seperti mana yang Menteri Besar sebutkan, kepentingan rakyat mesti dipertahankan dan kena ingat kami telah mempertahankan tidak naikkan kadar caj air sejak sekian lama.

Kalau diikutkan akan ada kenaikan setiap tiga tahun sekali oleh syarikat konsesi. Dengan kata lain saya berani sebutkan bahawa dengan keputusannya nanti tidak dapat tidak, kadar air akan mengalami sedikit kenaikan pastinya sebab telah sekian lama bertahan. Persoalannya bila dan banyak mana? Harapan kami tidak membebankan rakyat Selangor.

Apa yang diperlukan ialah, kesediaan kerajaan negeri membuat keputusan yang berani, manakala kerajaan persekutuan mempermudah urus niaga ini. Pihak Splash juga kami harap akan ada perhitungan bukan sahaja untuk melihat bottom line atau keuntungan mereka, tetapi juga perhitungan national service atau khidmat kepada rakyat.

Harapan kami supaya semua pihak secara serius dan bertanggungjawab, berbincang untuk sampai ke satu keputusan terbaik.

Yang pentingnya adalah, mempertahankan kepentingan rakyat Selangor dan juga elakkan daripada berlakunya ketidakadilan kepada pihak konsesi. Perkara ni dah berlanjutan lama. Selagi tak selesai, selagi itu akan ada pertikaian, polemik dan sebagainya.

Disebabkan polemik ini, Umno-BN mengkritik pentadbiran kerajaan negeri dan ada yang memohon perkara tersebut dirujuk kepada Selcat dan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia). Komen Dr?

Kalau tak begitu bukan politik namanya. Sebagai political players, mereka memang ambil kesempatan ini dan cuba untuk memburukkan pentadbiran MB. Tetapi kami sebagai Panel Air memerhatikan, dalam ruang dan batas-batas kuasa yang ada saya kira beliau telah bertindak dengan sangat bertanggungjawab. Beliau melibatkan kami Panel Air bersama beberapa konsultan profesional yang mana latar belakang mereka turut diambil kira.

Kenapa saya minta Tan Sri hentikan polemik ini? Sebab saya melihat bahawa beliau seolah-olah dipergunakan oleh BN. Jadi Tan Sri tidak sewajar teruskan ini. Saya khuatir, beliau tidak menyedari bahawa beliau dipergunakan. Lebih khuatir lagi kalau beliau sengaja izin dipergunakan sebab sebelah BN sememang tidak ada yang faham akan perihal ini.

Sebagai wakil Panel Air, apa yang Dr ingin sampaikan kepada semua pihak?

Saya mahu semak-imbang terus berlaku dalam pemerintahan, Kalau saya (di pihak) kerajaan negeri, saya mahu timbal balik itu sentiasa ada untuk kebaikan kerajaan negeri. Kalau saya pembangkang seperti hari ini, kita akan terus menyemak dan menimbang Kerajaan Persekutuan.

Kerajaan yang mengamalkan politik sihat akan sentiasa mengizinkan pembangkang menyemak dan mengimbangi polisi dan amalan mereka. Di situlah kerajaan akan sentiasa peka dan sedar akan prestasi dan kepincangan mereka.

Tetapi apabila ia sudah menjadi seperti menegakkan benang basah, tidak wajarlah kita panjangkan kerana rakyat akan menjadi mangsa polemik yang tidak bermanfaat ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

  • Video Pilihan

  • Gambar Pilihan

  • Post Terkini

  • Arkib

  • RSS Free Malaysia Today

  • RSS Utusan Malaysia

  • RSS Roket Kini

  • NetworkBlogs

  • Alexa Rank

  • Jumlah Pelawat

    • 1264267Total visitors:
  • Skip to toolbar