Arahan Trump Tingkat Kesedaran Terhadap Anti-Islam

January 31, 2017 by Caspian

Category: politik

Donald Trump

Tindakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menandatangani arahan eksekutif mengharamkan visa dan juga kemasukan pelarian dari tujuh negara Islam nyata menggemparkan dunia.

Semalam, rakyat Amerika turut membuatkan bantahan bagi memprotes tindakan tersebut dan turut disokong oleh penduduk di seluruh dunia.

Penganalisis Antarabangsa, Dr Chandra Muzaffar berkata beliau melihat demonstrasi yang diadakan itu merupakan satu perkembangan yang sihat.

“Ia satu perkembangan yang sihat melihat rakyat di negara itu yang terang-terangan mempertahankan hak bangsa asing, hak imigran dan juga hak warga luar.

“Ini menunjukkan bahawa mereka berpegang teguh pada prinsip hak asasi manusia dan juga pertahankan hak orang Islam memasuki negara itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Online, hari ini.

Sokongan orang bukan Islam bermakna

Tambahnya lagi, sokongan daripada orang bukan Islam adalah sangat bermakna apatah lagi Trump memang dikenali dengan sifat anti-Islam dan prejudisnya pada agama Islam.

“Sangat bermakna apabila orang bukan Islam turut bangkit mempertahankan hak Orang Islam di negara itu apatah lagi agama ini merupakan kaum minoriti dengan hanya lapan juta orang.

“Oleh itu, saya melihat bantahan ini sebagai satu perkembangan yang positif dan ia juga turut meningkatkan kesedaran orang bukan Islam terhadap sikap prejudis dan anti-Islam,” katanya lagi.

Mengapa tujuh negara itu?

Katanya lagi, sebab utama tujuh negara iaitu Iraq, Syria, Iran, Sudan, Libya, Somalia dan Yaman adalah kerana beberapa buah negara tersebut secara terang-terangan tidak merestui penguasaan AS dan Israel di rantau itu.

“Jika lihat pada alasan Trump sebelum ini kerana pengganas dan juga menjadikan peristiwa 11 September sebagai alasan, maka sepatutnya Arab Saudi juga harus tersenarai.

“Namun disebabkan negara itu punyai hubungan baik dengan Israel maka ia tidak ‘dikacau, dan negara-negara yang terang-terangan membantah penguasaan AS dan Israel di rantau itu menjadi mangsa,” katanya lagi.

Selain itu, beliau juga mendakwa Trump mempunyai hubungan yang sangat baik dengan Israel lebih daripada Presiden terdahulu.

“Sebab itulah Trump sangat-sangat menjaga kepentingan Israel malah dengan lantang menyuarakan hasrat ingin menukar kedutaan Amerika dari Tel Aviv ke Baitul Muqaddis.

“Sedangkan umum tahu bahawa penempatan Israel di kawasan itu adalah secara haram, nyata ia memang satu tindakan yang biadab,” tambahnya.

Kecewa dengan negara Islam

Beliau juga turut menyatakan kekecewaannya terhadap negara-negara Islam yang setakat masih berdiam diri.

“Kecewa, itu yang boleh saya katakan terhadap negara-negara Islam, malah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang kononnya mewakili 57 negara Islam turut tidak membuat kenyataan balas.

“Isu ini melibatkan negara-negara Islam, mengapa tiada bantahan? mengapa pemimpin Islam bersikap bisu?” katanya lagi.

Tidak dapat ramal apa akan jadi

Sementara itu, beliau berkata bahawa setakat ini tiada siapa yang dapat meramal apa lagi yang akan terjadi sepanjang Trump bergelar Presiden ini.

“Setakat ini, hanya tindakan mahkamah yang boleh diambil dan beberapa kumpulan Islam di Amerika seperti Kesatuan Kebebasan Sivil Amerika (ACLU) sudah pun melakukannya.

“Bagaimanapun jika perkara ini berterusan ia merupakan perkembangan yang sihat kerana ramai orang bukan Islam kini menyokong orang Islam dan ia sesuatu yang bagus,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

  • Video Pilihan

  • Gambar Pilihan

  • Post Terkini

  • Arkib

  • RSS Free Malaysia Today

  • RSS Utusan Malaysia

  • RSS Roket Kini

  • NetworkBlogs

  • Alexa Rank

  • Jumlah Pelawat

    • 1243453Total visitors:
  • Skip to toolbar