Mukhriz Dakwa Kedah Terabai

March 31, 2017 by Caspian

Category: politik

Mukhriz Mahathir

Kerajaan persekutuan didakwa mengabaikan tanggungjawab dan perhatian kepada Kedah walaupun ditadbir oleh parti pemerintah yang sama.

Timbalan Presiden Parti Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, perkara itu dapat dibuktikan apabila sejak PRU13 hingga sekarang masih tiada perhatian yang diberikan kerajaan persekutuan.

“Sewaktu PRU13 saya berkempen kepada rakyat bahawa penting bagi Kedah sebagai sebuah negeri termiskin untuk dapat bantuan kerajaan persekutuan dan untuk dapatkan bantuan itu sebaiknya parti yang perintah negeri hendaklah sama dengan kerajaan persekutuan.

“Saya pesan supaya bagi peluang kepada BN perintah Kedah supaya kerajaan persekutuan dapat bagi tumpuan kepada Kedah, maka PRU13 BN berjaya perintah Kedah,” katanya semasa program bertemu penduduk Kampung Dulang Besar, di sini, semalam.

Menurutnya, namun selepas PRU13 tiada langsung perhatian diberikan oleh kerajaan persekutuan kepada Kedah sehingga hari ini.

“Saya sewaktu berada dalam BN merayu banyak kali (kepada kerajaan persekutuan), tapi dia ungkit kita banyak berhutang dengan kerajaan persekutuan dan ditanya bila kita nak bayar.

“Saya pun kemudian arah pegawai kewangan negeri untuk bayar sikit-sikit kepada kerajaan persekutuan, namun Kedah tak dapat juga bantuan daripada kerajaan persekutuan,” katanya.

Mukhriz berkata, apa yang berlaku sekarang seolah-olah sama seperti Kedah diterajui kerajaan PR pada sebelum ini.

“Kemudian dalam sidang dun saya syorkan supaya GST diturunkan daripada enam peratus kepada tiga peratus. Tentulah dia tak puas hati dengan saya.

“Kita pun mula kritik kerajaan persekutuan sebab tak bagi bantuan kepada Kedah. Rakyat Kedah pilih saya sebagai wakil rakyat dan kita terhutang budi kepada rakyat,” katanya.

Ujarnya, jika tak kerana rakyat maka BN tak akan dapat rampas Kedah daripada pemerintah Pas pada PRU13 lalu.

“Malangnya beberapa kali rayu, mereka buat tak reti. Maka saya dijatuhkan sebagai Menteri Besar Kedah dan diganti dengan seorang menteri besar baru yang dikatakan ada hubungan baik dengan pucuk pimpinan kerajaan persekutuan.

“Namun masih tak ada apa-apa perubahan. Nampak gayanya walaupun kerajaan negeri dan persekutuan dari parti yang sama pun tak membantu Kedah,” katanya.

Ekoran itu, Mukhriz mengharapkan rakyat dapat memberi mandat kepada Pakatan Harapan untuk tadbir Kedah dan kerajaan persekutuan pada PRU14 nanti.

Pada perkembangan lain, Mukhriz menyahut cabaran oleh Naib Ketua Umno Bahagian Pokok Sena, Haris Che Mat supaya diadakan debat di Parlimen Jerlun mengenai dakwaan beliau mempunyai aset berbilion ringgit.

Mukhriz berkata, sekiranya dakwaan Haris adalah benar maka beliau sedia menyumbang sebanyak RM500 juta untuk pembangunan di Pokok Sena dan RM500 juta lagi di Jerlun.

“Kalau nak debat mana boleh letak syarat hanya debat mengenai isu tu saja, macam mana nak buat debat.

“Saya pun nak tanya dia soalan Riza Aziz dapat duit daripada mana, tak kan itu pun tak boleh,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

  • Video Pilihan

  • Gambar Pilihan

  • Post Terkini

  • Arkib

  • RSS Free Malaysia Today

  • RSS Utusan Malaysia

  • RSS Roket Kini

  • NetworkBlogs

  • Alexa Rank

  • Jumlah Pelawat

    • 1243453Total visitors:
  • Skip to toolbar