RUU355: Situasi ‘Win-Win’ Bagi Umno, PAS, Kata Pensyarah

March 31, 2017 by Caspian

Category: politik

Tidak ada yang mengejutkan apabila BN enggan mengambil alih pembentangan usul meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 di parlimen.

Seorang penganalisis politik berkata, sejak awal lagi, anggota BN menyatakan mereka tidak bersetuju dengan rang undang-undang (RUU) itu.

Menurut Dr Maszlee Malik, tidak pernah berlaku dalam sejarah negara ini, Umno membentangkan RUU persendirian yang penting seperti itu tanpa mendapat izin anggota komponen BN.

“Isunya sekarang ialah, sejak hari pertama kita dah agak kerajaan tak akan bentang RUU ini.

“Dari awal lagi, komponen BN kata mereka tak akan sokong. Parti dari Sabah dan Sarawak memang cakap tak akan sokong,” katanya.

Selain itu, Maszlee yang juga pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengenai perkara itu malam tadi tidak boleh dianggap sebagai anti-klimaks.

“Kita tahu ia tak akan berlaku, dan RUU itu akan dikembalikan kepada (Presiden PAS, Abdul) Hadi Awang. Tidak seperti sesetengah orang yang menunggu klimaks, pengumuman berkenaan langsung tidak mengejutkan.

“Ia hanya akan terkejut kalau BN membentang usul itu dan BN mempersetujuinya. Apa yang berlaku ini sudah dirancang,” katanya kepada Malaysiakini.

Najib komited?

Semalam Najib mengumumkan kerajaan tidak akan mengambil alih pembentangan usul meminda Akta 355 itu daripada PAS.

Usul itu asalnya dibawa Abdul Hadi, melalui peruntukan RUU persendirian.

Pada 1 Disember 2016, semasa menyampaikan ucapan dasar di Perhimpunan Agung Umno, Najib berkata kerajaan Persekutuan akan “mengambil alih” rang undang-undang persendirian Abdul Hadi dan meminta jangan ada sesiapa mempolitikkannya.

“Saya pinta, janganlah sesiapa mempolitikkan isu ini kerana, ia adalah satu usul persendirian yang kemudiannya akan diambil alih oleh kerajaan Persekutuan,” katanya.

Najib bagaimanapun tidak menjelaskan bagaimana rang undang-undang itu akan “diambil alih” oleh kerajaan.

Pada 17 Mac lalu pula, isu itu sekali lagi ditegaskan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Kata Ahmad Zahid, Najib komited untuk menterjemah hasrat tersebut tanpa mengganggu gugat kepentingan agama serta kaum lain di negara ini.

Rabu lalu, Najib berkata, keputusan tidak mengambil alih usul Abdul Hadi itu diambil diambil selaras dengan dasar dan amalan BN yang menetapkan semua keputusan mesti dibuat secara konsensus.

Dengan ketetapan itu, katanya, status usul itu kini terserah kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Sementara itu, bagi Ahli Jawatankuasa Teknikal Hudud Kebangsaan, Prof Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz pula berkata, bukanlah masalah besar apabila Najib menolak untuk membentangkan RUU itu di Dewan Rakyat.

Katanya, Abdul Hadi masih lagi boleh membawa usul tersebut yang akan dibuat melalui proses undian secara demokrasi.

“RUU itu masih boleh diteruskan oleh MP Marang. (Najib) tidaklah cakap kerajaan tak sokong, cuma perdana menteri kata, serahkan kepada dewan.

“Bagi saya, ia bukan isu besar. Ia kekal sebagai RUU persendirian yang perlu melalui proses demokrasi yang dinyatakan begitu jelas dalam aturan mesyuarat Parlimen dan aturan Parlimen di negara kita,” kata penganalisis perundangan itu lagi.

Tiada manipulasi

Shamrahayu juga menjelaskan, aturan mesyuarat Parlimen turut menetapkan usul berkaitan kerajaan perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum RUU persendirian dimasukkan.

Namun, Prof Ahmad Atory Hussain pula berpendapat, Umno dan PAS sama-sama mendapat faedah daripada keputusan berkenaan.

Menganggapnya sebagai situasi “menang-menang”, penganalisis politik itu berkata, Umno atau PAS tidak memanipulasi keadaan.

“Saya rasa tidak (ada pihak yang memanipulasi keadaan) tapi win-win. Kalau nak cakap dari segi politik, Umno nak manipulasi PAS dan PAS pun nak manipulasi Umno, tapi akhirnya Umno tak boleh bawa dan apabila PAS nak bawa, ada masalah.

“Kalau betul-betul dikatakan dimanipulasi, orang (PAS) pun dah ada masuk AMANAH, Umno pun sama (sudah pergi ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia).

“Jadi, apabila jadi begini, BN nak tunjuk wujud kepelbagaian masyarakat kita dan mereka mestilah mendapat konsensus daripada semua pihak,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

  • Video Pilihan

  • Gambar Pilihan

  • Post Terkini

  • Arkib

  • RSS Free Malaysia Today

  • RSS Utusan Malaysia

  • RSS Roket Kini

  • NetworkBlogs

  • Alexa Rank

  • Jumlah Pelawat

    • 1245920Total visitors:
  • Skip to toolbar