Umno Mahu 2 Kerusi Parlimen MCA

June 30, 2017 by Caspian

Category: politik

Umno mahu 2 kerusi parlimen MCA

UMNO difahamkan ingin ‘merampas’ lagi dua kerusi parlimen milik MCA pada PRU14.

Kedua-dua kerusi parlimen yang dimaksudkan ialah Lumut dan Padang Serai.

Pada PRU13, Umno berjaya meletakkan calonnya di Parlimen Wangsa Maju dan Kuantan, yang sebelum ini ditandingi oleh MCA. Bagaimanapun, Umno kalah di tangan PKR di kedua-dua kawasan tersebut.

Menurut laporan Oriental Daily, dengan tambahan dua kerusi parlimen ini, bermakna MCA akan menyerahkan empat kerusi parlimen dalam dua kali PRU kepada Umno yang menjadi kerusi tradisi parti itu sebelum ini.

“Sebagai ganti, MCA kemungkinan hanya akan mendapat kembali kerusi Parlimen Gelang Patah,” tulis akhbar ini.

Pada PRU lalu, DAP menang di Gelang Patah melalui calonnya, Lim Kit Siang apabila menewaskan calon Umno, iaitu bekas Menteri Besar Johor, Tan Sri Abdul Ghani Othman dengan majoriti 14,762 undi.

Menurut sumber, Menteri Besar Perak yang juga Adun Pangkor, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir sebelum ini dikatakan akan bertanding di kerusi Parlimen Lumut pada PRU14.

Bagaimanapun, akibat pergolakan politik semasa, tenaga Zambry lebih diperlukan oleh Umno dalam mempertahankan tampuk pemerintahan di Perak.

“Umno cukup berminat dengan kerusi Parlimen Lumut. Di bawah persempadanan baharu, peratusan undi Melayu telah meningkat kepada 71 peratus.

“Akibat persempadanan kawasan baharu, pengundi Cina yang menjadi majoriti di Dun Sitiawan dalam Parlimen Lumut telah dipindahkan ke Parlimen Bruas, menyebabkan peratusan undi Melayu di Parlimen Lumut meningkat 71 peratus.

“Sebaliknya, peratusan pengundi Cina di kawasan parlimen itu telah menurun sehingga 17 peratus. Atas faktor inilah yang mendorong Umno berhasrat merampas kerusi milik MCA ini,” lapor akhbar ini lagi.

60 peratus penduduk Kuala Lumpur tertekan

Daripada 1,009 isi rumah miskin bandar, kira-kira 59.7 peratus ataupun 600 isi rumah daripadanya didapati terbeban dengan peningkatan kos sara hidup yang semakin tinggi.

Kesemua isi rumah berkenaan melibatkan lima kawasan perumahan awam dan rakyat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Memetik laporan Sin Chew Daily, kajian dihasilkan pada April lalu turut mendapati kira-kira 52.6 peratus lagi warga kota terbeban dengan hutang yang semakin banyak.

Laporan itu disiarkan dalam majalah Ringgit, edisi April 2017 yang diterbitkan secara bersama oleh Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) dan Bank Negara Malaysia.

“Majoriti responden bergantung kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai simpanan untuk persaraan, manakala tiga bentuk pinjaman utama ialah sewa beli kenderaan, perumahan dan pinjaman peribadi,” menurut laporan tersebut.

Peniaga perlu beri kerjasama kepada kastam

Peniaga perlu memberi kerjasama kepada Jabatan Kastam sekiranya mereka dipaksa memasang peranti dongle di dalam premis masing-masing.

Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan), Datuk Paddy Abd Halim berkata, pemasangan peranti dongle itu adalah projek perintis bagi mengesan mana-mana peniaga yang cuba elak membayar GST.

Sebanyak 7,000 premis daripada enam sektor perniagaan utama terlibat dalam penguatkuasaan itu yang akan bermula 1 Julai depan.

Paddy berkata demikian kepada China Press, mengulas pandangan ramai peniaga yang mengharapkan pihak berkuasa memberikan penjelasan lanjut mengenai pemasangan peranti dongle.

“Projek ini hanya akan dikuatkuasakan di sekitar kawasan Lembah Klang dan ia dipasang secara percuma.

“Jabatan Kastam sedia memberikan penjelasan lanjut kepada peniaga-peniaga yang masih keliru lagi,” katanya.

Dongle itu dikatakan akan dipasang pada setiap mesin daftar tunai, yang membolehkan setiap transaksi direkodkan dan dihantar ke mesin server di ibu pejabat Jabatan Kastam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

  • Video Pilihan

  • Gambar Pilihan

  • Post Terkini

  • Arkib

  • RSS Free Malaysia Today

  • RSS Utusan Malaysia

  • RSS Roket Kini

  • NetworkBlogs

  • Alexa Rank

  • Jumlah Pelawat

    • 1263328Total visitors:
  • Skip to toolbar