Waris MH370 Mahu Kerajaan Lebih Terbuka

August 11, 2017 by Caspian

Category: politik

Sebuah kumpulan sokongan keluarga mangsa MH370 kecewa terhadap sikap kerajaan yang kurang berkomunikasi dengan waris terbabit dalam usaha mereka mengetahui kedudukan pesawat udara yang hilang itu.

Justeru kumpulan itu menyeru kerajaan bersikap terbuka mengenai tawaran dan proses yang diambil untuk membuat sebarang keputusan.

Jurucakap kumpulan itu Grace Nathan berkata, sejak pesawat malang berkenaan hilang pada 8 Mac 2014, apa yang konsisten berlaku ialah kurangnya komunikasi dengan waris mangsa.

“Dari semasa ke semasa kami memohon dimasukkan sebagai sebahagian daripada proses yang dijalankan, sebaliknya kami dilayan sebahagian daripada masalah.

“Malaysia tidak berusaha memperbaiki kurangnya tahap keyakinan atau kepercayaan yang berlaku sejak tiga setengah tahun lalu,” katanya.

Laporan akhir mengenai usaha mengesan pesawat udara milik Malaysia Airlines (MAS) oleh Australia dijangka dikeluarkan September ini.

Kata Grace pihaknya percaya maklumat mengenai cadangan kawasan pencarian yang lebih khusus dan diperiksa akan dimasukkan dalam laporan berkenaan.

“Kami berharap Malaysia membuat keputusannya pada masa itu supaya kami tidak berdepan sebarang kelewatan yang mengakibatkan terjejasnya bukti yang boleh membawa kepada penyelesaian yang disebut sebagai misteri penerbangan terbesar dalam sejarah.

“Kami berharap Malaysia akan mengotakan janjinya kepada dunia untuk mencari pesawat itu dan membawa pulang ibu saya serta 238 penumpang serta kru di dalamnya,” katanya kepada Malaysiakini.

Dalam kenyataan rasmi kumpulan itu pagi ini mereka mempersoalkan mengapa kerajaan tidak menerima tawaran “menang-menang” dalam usaha mengesan pesawat MH370 berkenaan.

Kata kumpulan firma yang mengendalikan kapal pengesan dari AS, Ocean Infinity, dan kerajaan mengesahkan ada cadangan dikemukakan bagi mencari pesawat udara berkenaan.

Kementerian Pengangkutan pula kata mereka berkali-kali menyatakan kekurangan dana bukanlah masalah.

“Sudah empat bulan sejak Ocean Infinity membuat tawaran untuk menjalankan usaha mencari kapal terbang itu dengan bayaran mengenainya dibayar selepas ia berjaya dikesan.

“Kami yakin tawaran berkenaan patut diterima tanpa sebarang kelewatan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

  • Video Pilihan

  • Gambar Pilihan

  • Post Terkini

  • Arkib

  • RSS Free Malaysia Today

  • RSS Utusan Malaysia

  • RSS Roket Kini

  • NetworkBlogs

  • Alexa Rank

  • Jumlah Pelawat

    • 1072161Total visitors:
  • Skip to toolbar