DNA Kita Tak Sama, Kata PAS Pada Umno

October 12, 2017 by Caspian

Category: politik

Dakwaan Umno memberi lampu hijau kepada presidennya Datuk Seri Najib Razak untuk berunding dengan PAS adalah lawak dan propaganda yang dibuat parti itu sendiri, kata Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan.

Beliau mengulas laporan The Star yang memetik Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa sebagai berkata, kebenaran itu diberikan kerana kedua-dua parti itu berkongsi “DNA yang sama”, justeru tiada masalah untuk bekerjasama dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Annuar Musa sedang buat lawak dengan mengatakan bahawa kita (PAS) berasal dari DNA yang sama… itu propagandalah,” katanya kepada Malaysiakini.

Katanya, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak pernah bertemu dengan pemimpin Umno untuk berbincang tentang kerjasama itu.

“Kami tak pernah bertemu, dan presiden kami tidak pernah jumpa, panggil atau bincang (soal kerjasama dengan Umno). Tidak sekali-kali, tidak, tidak.

“Tapi pada masa sama, kita dibenarkan untuk berbincang atau bekerjasama dalam isu umum demi bangsa dan Islam. Itulah sebabnya dalam kes RUU 355, kita menyokong kerajaan. Kerajaan, bukannya Umno,” katanya.

Beliau berkata, ketetapan Majlis Syura Ulama’ jelas yang parti itu tidak akan bekerjasama dengan BN dan juga Pakatan Harapan (HARAPAN).

“Tiada kerjasama (dengan Umno) sama sekali. Pada masa sama, keputusan kita juga tidak boleh ada apa-apa pakatan dengan HARAPAN. Ketetapan ini sangat mengikat kita.

“Jadi jawapan saya ialah tidak akan ada rundingan dengan BN bagi menghadapi PRU ke-14. Itu sangat pasti,” katanya yang juga anggota parlimen Kota Bharu.

Menurut laporan The Star hari ini, Annuar berkata ia adalah kali pertama cadangan berhubung kerjasama itu dibuat dan ia sedang berjalan dengan positif.

Usaha itu akan berjaya jika disokong orang orang Melayu yang prihatin terhadap soal perpaduan Melayu, namun tidak mengulas lanjut bentuk kerjasama itu, katanya lagi seperti dipetik.

Ketika ditanya sama ada PAS akan menerima tawaran perdamaian dari Umno, Takiyuddin berkata mereka tidak akan menerimanya.

Malah, katanya lagi, ada di kalangan pemimpin parti itu yang berjenaka jika ia berlaku, “esok Umno akan membubarkan parlimen”.

“Kita ada blok kita, blok ketiga. Kita yakin ada ahli dan pengundi mencukupi, jentera yang kuat, dan cawangan di seluruh negara,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

  • Video Pilihan

  • Gambar Pilihan

  • Post Terkini

  • Arkib

  • RSS Free Malaysia Today

  • RSS Utusan Malaysia

  • RSS Roket Kini

  • NetworkBlogs

  • Alexa Rank

  • Jumlah Pelawat

    • 1255038Total visitors:
  • Skip to toolbar