Nurul Izzah Kesal Kenyataan Nur Jazlan

October 12, 2017 by Caspian

Category: politik

Nurul Izzah

Kenyataan yang dikeluarkan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berhubung cadangan menggunakan 100 peratus tenaga pekerja asing dalam sektor pembuatan amat dikesali.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, cadangan yang dikemukakan itu adalah tidak relevan sama sekali dari aspek pembangunan ekonomi dan sosial negara pada hari ini dan mempamerkan sikap acuh tak acuh kerajaan dalam menjaga kebajikan tenaga kerja tempatan.

Menurutnya, seharusnya tindakan yang berteraskan kepentingan rakyat diambil bagi mengurangkan beban kelompok B40, M40 dan belia yang kian terkesan dengan ketidakstabilan ekonomi negara serta peluang pekerjaan yang semakin merudum.

“Saya berpandangan bahawa pertimbangan yang dicadangkan oleh beliau (Nur Jazlan) adalah tidak wajar dan memihak pada pihak berkepentingan.

“Ia juga jelas bertentangan dengan kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot pada sidang Parlimen awal tahun ini, di mana beliau menyatakan bahawa kerajaan mensasarkan penggajian pekerja asing yang tidak melebihi 15 peratus dari tenaga kerja negara, sebagaimana yang digariskan dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, berdasarkan statistik yang dikemukakan oleh Kementerian Sumber Manusia dan Unit Perancangan Ekonomi untuk tahun 2015, hanya 2.1 juta daripada kira-kira 6.7 juta pekerja asing berada di Malaysia mempunyai permit pekerjaan yang sah.

Katanya, ternyata, bilangan pekerja asing di Malaysia jauh tersasar daripada matlamat yang dicanang pihak kerajaan, apabila 32.2 peratus daripada tenaga kerja sedia ada terdiri daripada warga asing.

“Alasan kekurangan tenaga kerja yang sering dibangkitkan oleh pihak kerajaan juga adalah tidak munasabah, apabila isu peluang pekerjaan diperhalusi di peringkat nasional. Perbandingan produktiviti antara pekerja tempatan dan asing turut meragukan dan dijadikan mainan semata-mata untuk menjana pulangan tinggi tanpa mengambil kira taraf kehidupan dan usaha pekerja tempatan yang berterusan.

“Daripada mempertimbangkan kebanjiran tenaga kerja asing sebagai alternatif membantu industri pembuatan, adalah lebih baik jika kerajaan dapat mengkaji semula sistem sedia ada. Kelewatan dan kekurangan penekanan terhadap peningkatan teknologi menghalang penggajian berpatutan buat golongan pekerja, terutamanya rakyat Malaysia,” katanya.

Justeru Izzah menggesa beberapa langkah yang bersesuaian perlu dilaksanakan merangkumi persediaan teknik dan pemantapan ilmu pekerja selaras dengan Revolusi Teknologi ke-4, penyelarasan gaji yang setimpal dengan kadar kos hidup semasa, serta pemberian insentif atau pengurangan cukai terhadap industri dan syarikat yang mengutamakan pengambilan pekerja tempatan.

“Sebaiknya pihak kerajaan bersifat realistik dan proaktif dalam memahami isu-isu kehidupan rakyat pada ketika ini. Isu pekerjaan dan kos sara hidup perlu dipandang serius, dan ditangani dengan segera.” Katanya.

Semalam, kerajaan sedia mempertimbangkan permohonan pengambilan 100 peratus pekerja asing dalam sektor pembuatan bagi memenuhi keperluan pengilang di bahagian pengeluaran produk.

Nur Jazlan berkata, bagaimanapun polisi ini terhad kepada pengilang sektor pembuatan yang mengeksport produk masing-masing ke luar negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

  • Video Pilihan

  • Gambar Pilihan

  • Post Terkini

  • Arkib

  • RSS Free Malaysia Today

  • RSS Utusan Malaysia

  • RSS Roket Kini

  • NetworkBlogs

  • Alexa Rank

  • Jumlah Pelawat

    • 1206610Total visitors:
  • Skip to toolbar