IGP Sahkan Polis Siasat Aduan Hubungan Sulit Pegawai SPRM

October 17, 2017 by Caspian

Category: politik

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun hari ini mengesahkan bahawa polis sedang menjalankan siasatan menyeluruh berhubung laporan yang mendakwa seorang pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempunyai hubungan sulit dengan isteri orang.

Portal Berita Harian Online, memetiknya sebagai berkata, aduan itu disiasat mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan.

“Polis sedang menjalankan siasatan menyeluruh mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan berhubung laporan itu.

“Kita sedang kenalpasti (pihak bertanggungjawab menyebarkan video) kalau perlu buat tangkapan kita akan buat tangkapan, tapi setakat ini tiada tangkapan.

“Bagi kita masa secukupnya untuk siasat, bukan mudah untuk kita kesan (pihak bertanggungjawab menyebarkan video), tapi kita cuba sedaya upaya,” katanya yang dipetik portal itu.

Akhbar berbahasa Cina Sin Chew Daily, minggu lalu mendedahkan satu laporan difailkan oleh seorang ahli perniagaan berusia 37 tahun, dengan ibu pejabat polis daerah Wangsa Maju.

Ia juga memetik Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif sebagai berkata, kes dirujuk kepada Bukit Aman.

Pengadu mendakwa bahawa wanita itu mempunyai dua orang anak dan pasangan itu bercerai September lalu berikutan pembabitan orang ketiga dalam perkahwinan tersebut.

Seksyen 498 Kanun Keseksaan menyebut adalah satu kesalahan kerana “memikat atau membawa pergi atau menahan seseorang perempuan yang bersuami dengan tujuan untuk mengadakan hubungan seks.”

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga dua tahun, dikenakan denda atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, akhbar Berita Harian hari ini memetik ketua cabang propaganda kerajaan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Datuk Mohd Puad Zarkashi yang menamakan Tan Sri Dzulkifli Ahmad sebagai individu yang tidak dinamakan dalam satu artikel dan video itu.

Mohd Puad yang juga adalah Ahli Majlis Tertinggi Umno dipetik sebagai berkata, fitnah itu disebarkan dengan harapan pihak SPRM akan takut untuk bertindak meneruskan siasatan.

“Saya mengecam pihak tidak bertanggungjawab, yang cuba memfitnah Ketua Pesuruhjaya SPRM dengan cerita sensasi yang keterlaluan.

“Semua itu bertujuan untuk mengugut Zulkifli Ahmad dan SPRM daripada bertindak tegas dalam memerangi rasuah, apatah lagi apabila ia membabitkan tokoh ternama dan politik tertentu,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

  • Video Pilihan

  • Gambar Pilihan

  • Post Terkini

  • Arkib

  • RSS Free Malaysia Today

  • RSS Utusan Malaysia

  • RSS Roket Kini

  • NetworkBlogs

  • Alexa Rank

  • Jumlah Pelawat

    • 1243451Total visitors:
  • Skip to toolbar