RUU355: Pas Bimbang Sokongan Rakyat

October 17, 2017 by Caspian

Category: politik

Penganalisis politik menjangkakan keputusan Pas untuk menangguhkan rang undang -undang persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU355 selepas PRU, berikutan soal sokongan rakyat terhadap parti Islam itu.

Ahli Jawatankuasa Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, tindakan Pas itu untuk mengelakkan pandangan berbeza-beza yang boleh gugat sokongan pada PRU.

Beliau berkata, Pas tidak hadapi kesukaran mendapat sokongan di kalangan penyokong, sebaliknya yang perlu diberi penekanan adalah sokongan di kalangan pengundi atas pagar.

“Sokongan penyokong tidak perlukan kelulusan RUU355 untuk raih sokongan memandangkan sokongan mereka adalah berprinsipkan ideologi politik parti.

“Yang perlu diyakinkan adalah sokongan pengundi atas pagar,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian mengulas keputusan Pas menangguhkan RUU355 selepas PRU seperti dimaklumkan Ketua Dewan Ulamak Pas, Datuk Dr Mahfodz Mohamed, setelah ia (RUU355) tidak mendapat sokongan Umno dan penganut agama Islam lain pada masa ini.

Menurut Sivamurugan, kedudukan Pas diyakini selamat terutamanya di kerusi tradisi milik mereka.

“Pas akan kekal di kerusi tradisi mereka,” ujarnya.

[ARTIKEL BERKAITAN: RUU 355 bakal dibentang selepas PRU14]

Bagaimanapun katanya, Pas akan ubah strategi jika keputusan pilihan raya tidak memihak kepada mereka.

“Jika kalah, saya percaya Pas akan ubah strategi mereka sama ada untuk teruskan (RUU355) atau sebaliknya,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, hanya Pas mempunyai jawapan terhadap tindakan mereka untuk menangguhkan RUU355 selepas pilihan raya.

“Soal itu, Pas sahaja boleh jawab, tetapi berkemungkinan ia melibatkan sokongan rakyat. Oleh itu, sukar untuk Pas menang PRU kalau mendapat sokongan satu kaum sahaja. Kalau di Terengganu dan Kelantan itu ada kemungkinan untuk Pas berkuasa,” katanya.

RUU355 pertama kali dibentang Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Mei 2016 dan kali kedua pada November lalu bagi meningkatkan hukuman penjara ke atas pesalah mahkamah syariah kepada 30 tahun, denda maksima RM100,000 dan sebat 100 kali berbanding tiga tahun penjara denda RM5,000 dan enam sebatan pada masa ini.

Pada Ogos lalu, Dewan Rakyat menangguhkan perbahasan usul RUU355 selepas dibentang buat kali ketiga.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

  • Video Pilihan

  • Gambar Pilihan

  • Post Terkini

  • Arkib

  • RSS Free Malaysia Today

  • RSS Utusan Malaysia

  • RSS Roket Kini

  • NetworkBlogs

  • Alexa Rank

  • Jumlah Pelawat

    • 1243451Total visitors:
  • Skip to toolbar