Pemuda Umno Pahang Kesal MCKIP Dipolitikkan

October 27, 2017 by Caspian

Category: politik

Azril Rizal Yusof Mohd Sarit

Sikap pembangkang yang diketuai Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam berterusan mempolitikkan selain memainkan sentimen anti kepada pembangunan Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) amat dikesali.

Naib Ketua Pemuda Umno Pahang, Azril Rizal Yusof Mohd Sarit berkata, ia menjelaskan sikap pembangkang yang sering terdesak, tidak telus dan sentiasa mengulang taktik matlamat menghalalkan cara semata-mata untuk memburukkan pihak kerajaan yang pada akhirnya cuma merugikan rakyat.

Menurutnya, setelah empat tahun projek itu dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, pelbagai manfaat diperoleh kepada pembangunan industri di negeri Pahang.

“Rakyat Pahang secara keseluruhannya amat berbangga apabila daerah Kuantan telah dipilih bagi kawasan perindustrian berkembar dengan Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia (CMQIP) yang dilancarkan pada 2013.

“Malah, Menteri Besar Pahang sendiri, Datuk Seri Adnan Yaakob beberapa kali memberi pencerahan mengenai MCKIP ini, sama ada di sidang Dun mahupun apabila berdepan mana-mana wartawan, termasuk media pro pembangkang.

“Kerajaan Negeri Pahang ternyata terbuka, serta tiada apa-apa untuk disembunyikan, malah telus untuk menjawab setiap soalan dan isu yang dibangkitkan mengenai pelaburan di MCKIP ini,” katanya.

Azril Rizal berkata, malangnya, pembangkang masih berpolitik di takuk yang sama hanya mementingkan diri sendiri dan tidak peduli pada nasib rakyat apabila cuba untuk mempolitikkan projek MCKIP ini.

Beliau berkata, sudah pasti ia dilakukan setelah kegagalan mereka untuk mempolitikkan pelaburan Republik Rakyat China di Forest City dan Projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) sebelum ini.

Katanya, agenda pembangkang yang kelihatan seolah-olah seperti cuba mensabotaj keadaan ekonomi, politik dan sosial di negara ini, semata-mata hanya kerana ingin menjatuhkan pentadbiran Perdana Menteri dan kerajaan BN memang amat dikesali.

“Sudah pasti hal ini sudah dijangka apabila melihatkan pakatan mereka yang semakin haru biru dan tidak bersatu padu sedangkan PRU sudah hampir tiba.

“Secara keseluruhan, pelaburan Republik Rakyat China melalui MCKIP di Kuantan sememangnya satu keperluan yang amat penting samada dari sudut pembangunan, geopolitik dan perkongsian teknologi.

“Pelaburan ini pada dasarnya amat kena dengan dasar ekonomi Malaysia yang bersifat terbuka dan mesra kepada pelaburan langsung asing (FDI).

“Justeru, tiada apa-apa yang janggal mengenai hal ini tambahan pula pelaburan oleh Republik Rakyat China ini juga sejajar dengan status mereka yang telah menjadi rakan dagang terbesar bagi Malaysia sejak 2009,” katanya.

Azril Rizal berkata, sudah terlalu banyak kajian, rencana dan pendapat yang dikeluarkan untuk menyokong pembangunan MCKIP ini.

“Terutama apabila kita membicarakan mengenai kepentingan jajaran ‘One belt, one road’ bagi kita sama-sama menikmati pembangunan maritim serta daratan di sepanjang Laluan Sutera Maritim Abad ke 21. Maka, tidaklah perlu panjang lebar untuk saya ulangi dan terangi akan faedah dan manfaatnya di sini lagi.

“Justeru, saya mengulangi sekali lagi pendirian untuk berdiri teguh di bawah agenda pembangunan yang dijayakan bersama oleh kerajaan BN di peringkat Putrajaya dan Kerajaan Negeri Pahang.

“Saya minta pakatan pembangkang sama-sama kita mengamalkan politik matang, selain mula-mula berdikit untuk beranjak daripada politik hasut-menghasut, adu domba dan fitnah di mana akhirnya cuma merugikan pembangunan negara bangsa kita yang cintai,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

  • Video Pilihan

  • Gambar Pilihan

  • Post Terkini

  • Arkib

  • RSS Free Malaysia Today

  • RSS Utusan Malaysia

  • RSS Roket Kini

  • NetworkBlogs

  • Alexa Rank

  • Jumlah Pelawat

    • 1264269Total visitors:
  • Skip to toolbar