Bersatu Setuju ‘Hapuskan’ Armada

November 17, 2017 by Caspian

Category: politik

Dr Shahruddin Md Salle

Bersatu pada hari ini memutuskan untuk ‘menghapuskan’ ringkasan Armada bagi sayap Pemuda kepada Angkatan Muda Bersatu Malaysia buat masa ini.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh berkata, untuk masa sekarang, pihaknya akan menggunakan nama Pemuda Bersatu seperti yang termaktub di dalam perlembagaan parti.

Menurutnya lagi, keputusan tersebut dikekalkan sehingga pindaan perlembagaan parti diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

“Selaras dengan kehendak perlembagaan parti, Bersatu telah mengadakan Mesyuarat Agung Khas pada 2 November 2016 untuk meluluskan pindaan perlembagaan parti yang antara lain menggantikan nama sayap atau ringkasannya Armada.

“Oleh kerana pindaan perlembagaan parti masih dalam pertimbangan pihak RoS, kami akur nama Pemuda Bersatu yang hendaklah diguna pakai buat masa ini,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Pada 20 Oktober lalu, bekas Exco Armada Mohamad Taufik Abas mendakwa semakan di RoS mengesahkan Armada langsung tidak wujud dalam perlembagaan Bersatu kerana hanya menyatakan penubuhan sayap Pemuda, Wanita dan Srikandi.

Bersatu

Pendedahan itu memberikan impak kepada Bersatu di mana pemimpin Armada Lanchang, Airul Amir Amirudin selepas itu turut menggesa RoS membatalkan pendaftaran parti atas dakwaan menipu mereka untuk mempercayai sayap itu entiti yang sah.

Dalam masa sama, Ketua Armada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut diminta meletak jawatan ekoran kegagalannya menangani isu status pendaftaran Armada sebagai sayap Bersatu.
Shahruddin dalam pada itu mengaku telah hadir ke RoS 14 November lalu berhubung beberapa aduan yang dibuat terhadap parti.

“Saya sendiri telah hadir ke ibu pejabat RoS di Putrajaya untuk memberi keterangan kepada pegawai RoS dalam membantu siasatan berhubung aduan-aduan ini.

“Saya juga telah mendapatkan nasihat pakar undang-undang mengenai aduan-aduan tersebut dan percaya tiada pelanggaran terhadap perlembagaan parti dan undang-undang telah dibuat oleh Bersatu dalam perjalanan pengurusan dan pentadbiran parti seperti yang didakwa oleh beberapa pihak,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

  • Video Pilihan

  • Gambar Pilihan

  • Post Terkini

  • Arkib

  • RSS Free Malaysia Today

  • RSS Utusan Malaysia

  • RSS Roket Kini

  • NetworkBlogs

  • Alexa Rank

  • Jumlah Pelawat

    • 1255037Total visitors:
  • Skip to toolbar