Jeyakumar Ramal Pertandingan Sengit Di Sungai Siput

November 17, 2017 by Caspian

Category: politik

Walaupun telah berkhidmat selama dua penggal sebagai Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr D Michael Jeyakumar mendapati dirinya berada dalam kedudukan yang tidak selesa menjelang pilihan raya umum ke-14.

Jeyakumar terpaksa mencuba tiga kali dan bertungkus lumus lebih sedekad sebelum akhirnya mampu menyingkirkan penyandang lapan penggal kerusi itu, Tun S Samy Vellu pada 2008 dan mengekalkan kerusi itu pada 2013.

Memandangkan Parti Sosialis Malaysia (PSM) tidak lagi menjadi sekutu Pakatan Harapan mahupun PAS, Jeyakumar percaya bahawa peluangnya untuk berkhidmat bagi penggal ketiga semakin tipis.

Dua pertandingan terakhir adalah pertarungan PSM-BN. Kali ini, Jeyakumar perlu mempertahankan kerusinya daripada calon parti MIC dan DAP yang semakin bertambah kuat.

Terdapat kemungkinan bahawa PAS juga akan bertanding di kerusi berkenaan.

“Sekarang semua bergantung kepada orang Sungai Siput… Adakah mereka fikir saya lebih layak daripada yang lain? Saya tidak pasti.

“Pada tahun 2013, saya menang dengan hanya 2,793 undi. Perpecahan undi sekarang akan menyaksikan kemenangan buat BN,” kata Jeyakumar semasa wawancara baru-baru ini dengan Malaysiakini.

Tinjauan rambang mendapati bahawa Jeyakumar cukup disenangi oleh kebanyakan pengundi Sungai Siput kerana sejarah lamanya sebagai seorang aktivis akar umbi dan juga doktor.

Menurut penduduk Kampung Sungai Hydro, Geeva Narayanan dan K Mogaswari, mereka akan terus menyokongnya tanpa mengira berapa banyak calon lain akan bertanding kerana Jeyakumar banyak membantu mereka menyelesaikan pelbagai masalah.

Bagaimanapun, pekebun pisang, Lau Hiap Lee, 47, beliau percaya bahawa sekiranya DAP meletakkan calon di Sungai Siput, pengundi Cina, yang terdiri daripada 39 peratus daripada pengundi, tidak akan memilih Jeyakumar.

“Peratusan dia akan menang lebih rendah (kali ini) jika menjadi pertarungan tiga penjuru. Orang Cina akan menyokong logo (roket DAP),” katanya ketika ditemui di gerai pisang di pasar Simpang Jalong.

Walau bagaimanapun, secara peribadi, Lau berkata beliau akan menyokong Jeyakumar kerana dirinya pernah mendapat bantuan daripada ahli parlimennya itu. Katanya, Jeyakumar telah membantunya mendapatkan khidmat Datuk Ambiga Sreenevasan sebagai peguamnya menguruskan sesuatu kes atas dasar pro bono atau percuma.

Bagi kakitangan awam, T Vijayanadarajan, beliau percaya bahawa pengundi Cina akan kembali memilih calon DAP, bukannya Jeyakumar, dan ini akan mencetuskan kemenangan untuk BN.

“Malah, sekalipun orang Cina mengundi DAP, mereka tidak boleh menang di sini (kerana) undi BN tetap kukuh.

“MIC pasti akan menang, dan PSM akan hilang,” katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui di Pekan Sungai Siput.

Vijayanadarajan menambah bahawa walaupun dirinya pernah menerima bantuan daripada Jeyakumar pada masa lalu, namun beliau akan mengundi MIC kali ini kerana dirinya tidak akan memilih seseorang “tanpa peluang untuk menang”.

Selain kehilangan undi kepada DAP, Jeyakumar mungkin juga kehilangan sokongan penyokong PAS yang dipercayai membentuk sebahagian besar pengundi Melayu, yang membentuk 33 peratus daripada pengundi.

Menurut pemimpin PAS tempatan Nordin Mat Yazid, beliau dan ahli partinya telah membantu kempen Jeyakumar pada masa lalu. Tetapi memandangkan PAS telah memutuskan hubungannya dengan parti-parti pembangkang utama, Nordin dan penyokongnya telah diarahkan oleh pemimpin parti untuk menamatkan hubungan dengan PSM.

“Majoriti penduduk di sini menyokong BN semasa PRU13, tetapi penyokong PAS menyokong Jeyakumar.

“(Kali ini) saya hanya akan menyokongnya jika dia bersetuju untuk bertanding di bawah Gagasan Sejahtera (yang diterajui PAS).

“Jika tidak, PSM tidak mempunyai peluang, sukar sangat-sangat. Ini kerana PSM tidak pernah berkata akan bekerjasama dengan PAS,” kata Nordin kepada Malaysiakini ketika ditemui di rumahnya di Felda Lasah, kubu kuat Umno.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

  • Video Pilihan

  • Gambar Pilihan

  • Post Terkini

  • Arkib

  • RSS Free Malaysia Today

  • RSS Utusan Malaysia

  • RSS Roket Kini

  • NetworkBlogs

  • Alexa Rank

  • Jumlah Pelawat

    • 1255037Total visitors:
  • Skip to toolbar