Forex: Bekas PM Relakan Tindakan Sembunyi Fakta – RCI

November 30, 2017 by Caspian

Category: politik

Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kerugian dialami Bank Negara Malaysia (BNM) dalam urus niaga forex pada 1990-an percaya bahawa perdana menteri ketika itu merelakan tindakan menteri kewangan ketika itu yang mengakibatkan bank pusat mengalami kerugian berjumlah RM31.5 bilion.

Suruhanjaya itu juga berpandangan menteri kewangan ketika itu sengaja menyembunyikan fakta dan maklumat serta membuat kenyataan mengelirukan kepada Jemaah Menteri berhubung perkara itu.

“Suruhanjaya juga berpandangan bahawa terdapat elemen menyembunyikan fakta dengan sengaja memandangkan Laporan Tahunan BNM tidak menunjukkan kerugian sebenar yang dialami akibat urus niaga forex dari 1992 hingga 1994,” menurut suruhanjaya lima anggota diketuai bekas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan dalam laporan 524 muka surat yang dibentangkan di Parlimen hari ini.

Laporan itu menyebut perdana menteri ketika itu turut dimaklumkan oleh menteri kewangan bersama dengan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan pada penghujung 1993 bahawa BNM mengalami kerugian akibat urus niaga forex pada tahun 1992 dan 1993 berjumlah RM30 bilion.

Bagi tempoh yang dinyatakan dalam laporan itu, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah perdana menteri manakala Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah timbalan perdana menteri merangkap menteri kewangan.

Keputusan suruhanjaya itu, yang turut dianggotai Datuk Wira Kamaludin Md Said, Datuk Seri Tajuddin Atan, Tan Sri Saw Choo Boon dan Pushpanathan S.A. Kanagarayar, dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

Suruhanjaya itu berpendapat bahawa terdapat bukti daripada inkuiri itu yang mencadangkan kemungkinan wujudnya kesalahan-kesalahan pecah amanah (CBT) ke atas dana kepunyaan BNM mengikut Seksyen 406 dan 409 Kanun Keseksaan oleh individu yang terlibat secara langsung dalam urus niaga forex itu, terutamanya Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang dilihat mempunyai kawalan penuh dan bertanggungjawab dalam urus niaga forex.

Laporan itu menyebut walaupun beliau mendominasi dana BNM dan dilihat mempunyai kebebasan dalam urus niaga forex, beliau tidak mungkin dapat melaksanakan urus niaga berkenaan dalam tempoh yang lama tanpa kelulusan langsung atau tidak langsung daripada pihak atasan dan/atau individu lain yang mempunyai kuasa.

Suruhanjaya itu berkata ia telah meneliti liabiliti bersama individu-individu berkenaan di bawah Seksyen 34 atau Seksyen 107 Kanun Keseksaan dan boleh dikaitkan sebagai mempunyai niat yang sama atau bersubahat.

“Individu-individu yang termasuk dalam kategori ini adalah timbalan gabenor, gabenor, lembaga pengarah BNM, menteri kewangan dan perdana menteri,” menurut laporan itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

  • Video Pilihan

  • Gambar Pilihan

  • Post Terkini

  • Arkib

  • RSS Free Malaysia Today

  • RSS Utusan Malaysia

  • RSS Roket Kini

  • NetworkBlogs

  • Alexa Rank

  • Jumlah Pelawat

    • 1264268Total visitors:
  • Skip to toolbar