MKN Pantau Pembalakan Besar Di Merapoh

November 30, 2017 by Caspian

Category: politik

Majlis Keselamatan Negara (MKN) diarah memantau pembalakan berskala besar di Hutan Merapoh di Kuala Lipis, Pahang bagi memastikan ia dihentikan sepenuhnya.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, beliau telah berbincang dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berhubung perkara itu, semalam.

“Saya sudah minta Datuk Seri Shahidan untuk menghantar orang (penguat kuasa) untuk memantau (Hutan Merapoh).

“Saya sudah bincang dengan beliau bagi mengatur kedudukan anggota-anggota MKN ke situ,” katanya dalam sidang akhbar Parlimen, hari ini.

Wan Junaidi menambah, beliau juga telah mengarahkan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar supaya sebarang aktiviti pembalakan dan pembangunan di kawasan terbabit dihentikan serta merta.

Sekiranya arahan itu tidak dipatuhi, pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang ingkar.

“Kita telah kaji secara ringkas, banyak pihak yang terlibat dalam hal ini, pembangunan dan pembalakan yang dijalankan tidak mematuhi undang-undang alam sekeliling 1974.

“Saya dah arahkan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) supaya keluarkan perintah berhenti kerja untuk semua aktiviti di hutan tersebut. Semalam pun ada kontraktor masih buat kerja,” katanya.

Wan Junaidi berkata kajian Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) untuk kerja-kerja pembalakan dan pembangunan di hutan tersebut juga tidak dilaksana sebelum penerokaan dibuat.

“Saya nak satu kajian semula berhubung dengan hutan ini dijalankan dan saya akan berbincang dengan kerajaan negeri berhubung perkara ini.

“Walaupun kawasan yang nak dibangunkan ini merupakan tanah hak milik persendirian, tapi pemberian tanah itu diberikan dalam kawasan hutan simpan pada awal tahun 2000 dahulu iaitu sebelum kajian EIA dijalankan. Pembangunan dijalankan pada zaman ini, jadi semua pihak kena patuh arahan ini,” katanya.

Beliau berkata walaupun tanah, hutan dan air milik kerajaan negeri, semua pihak perlu akur dengan kajian JAS bagi mengelakkan sebarang bencana berlaku.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

  • Video Pilihan

  • Gambar Pilihan

  • Post Terkini

  • Arkib

  • RSS Free Malaysia Today

  • RSS Utusan Malaysia

  • RSS Roket Kini

  • NetworkBlogs

  • Alexa Rank

  • Jumlah Pelawat

    • 1264267Total visitors:
  • Skip to toolbar