NUJ: Wartawan Jangan Seksi-Seksi

January 16, 2018 by Caspian

Category: politik

Susulan dakwaan gangguan seksual ahli politik terhadap wartawan, Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) menyeru petugas media membuat penampilan sesuai, termasuk tidak berpakaian seksi.

“NUJ ingin mencadangkan memandangkan gangguan seksual sudah menjadi

sebahagian daripada cabaran wartawan wanita, mereka perlu membuat penampilan diri yang sesuai dan pendirian yang tegas ketika bertugas.

“Misalnya jangan berpakaian menjolok mata atau terlalu seksi, menolak untuk di temuramah di tempat-tempat yang tidak sepatutnya seperti di kelab malam atau di rumah ahli politik,” kata presidennya Mohd Taufek Razak.

Taufek berkata demikian dalam jawapan bertulisnya kepada Malaysiakini sama ada gangguan seksual terhadap wartawan wanita sudah menjadi budaya berleluasa di negara ini.

Asian Correspondent melaporkan seorang wartawan baru di satu laman berita, Ally (bukan nama sebenar) mendakwa seorang ahli politik parti pemerintah menghantar mesej kepadanya pada tahun 2014 tentang hasrat “menunggangnya di atas katil.”

Ally mendedahkan pernah dipeluk dan diramas tubuhnya selain dimasukkan lidah ke dalam mulut dalam parti eksklusif melibatkan ahli politik kedua-dua belah pihak.

Wartawan sebuah portal berita Diyana Ibrahim pula mendedahkan menerima mesej seorang ahli parlimen pada lewat malam atau awal pagi yang bertanya sama ada dia mempunyai teman lelaki.

Beliau juga mengajaknya berbual tentang hal peribadi serta makan malam bersama.

Berikut jawapan penuh Taufik terhadap pertanyaan Malaysiakini:

Adakah gangguan seksual terhadap wartawan wanita satu budaya yang berleluasa di Malaysia?

Taufek: Isu gangguan seksual oleh ahli politik terhadap wartawan wanita bukan satu perkara baru di Malaysia. Ia merupakan cabaran besar yang terpaksa dihadapi wartawan wanita sejak dulu lagi.

NUJ ingin memberi satu komen adil tanpa mahu menyalahkan mana-mana pihak kerana sudah menjadi lumrah manusia yang lelaki sudah pasti tertarik dengan wanita manakala yang wanita sudah pasti mahu menarik perhatian lelaki yang disukai atau diminatinya. Begitulah juga sebaliknya.

Jadi ia bukan satu budaya tetapi satu keperluan naluri kehidupan yang normal. Cuma bagaimana proses ia berlaku yang membezakan sama ada ia menjadi satu gangguan seksual atau pun tidak.

Dalam konteks wartawan wanita terutama yang cantik, perkara ini mudah berlaku jika

kedua-dua pihak tidak bertepuk sebelah tangan. Ia bermaksud atas faktor untuk mendapatkan berita.

Cuma ia akan terdedah menjadi negatif jika ia melibatkan faktor lain seperti cara wartawan itu berkomunikasi, penampilan wartawan itu ketika menemubual, cara pergaulan dan had-had yang perlu ditetapkan wartawan wanita itu sendiri.

NUJ ingin mencadangkan memandangkan gangguan seksual sudah menjadi sebahagian daripada cabaran wartawan wanita, mereka perlu membuat penampilan diri yang sesuai dan pendirian yang tegas ketika bertugas.

Misalnya jangan berpakaian menjolok mata atau terlalu seksi, menolak untuk di temuramah di tempat-tempat yang tidak sepatutnya seperti di kelab malam atau di rumah ahli politik.

Wartawan wanita perlu mempunyai integriti yang kuat dan cara yang sesuai untuk mendapat berita.

Patutkah dakwaan-dakwaan ini disiasat?

Untuk dakwaan itu dilaporkan dan disiasat, ia bergantung kepada bagaimana

insiden itu berlaku kerana membuktikan wujud gangguan seksual atau tidak adalah amat sukar sama sekali.

Sekiranya wartawan mempunyai bukti yang kukuh seperti rakaman, saksi dan sebagainya, eloklah dibuat laporan polis.

Masalahnya ada mangsa malu untuk membuat laporan polis atau serba salah demi untuk menjaga hubungan baik dengan ahli politik berkenaan.

Ada kes tertentu, apabila sudah tiada hubungan dengan ahli politik berkenaan, baru hendak mendedahkannya atau membuat laporan polis.

Ia seperti kita mengistilahkan kes rogol ketika hubungan baik dan tidak baik.

Apakah tindakan yang harus diambil oleh polis/parti politik dan sebagainya atas dakwaan-dakwaan ini?

Polis sukar bertindak jika tiada laporan dibuat. Hanya sekadar mendedahkan di media itu tidak mencukupi.

Apa yang perlu dilakukan wartawan perlu tampil dengan berani bersama-sama bukti yang kukuh. Ini sukar untuk dilakukan ketika ini.

Polis juga boleh memainkan peranan dengan memanggil kedua-dua pihak bertemu. Tetapi ingat tiada siapa mahu mengaku salah jika tiada bukti.

Bagi ahli politik, NUJ ingin menyarankan agar tidak mengambil kesempatan ke atas wartawan sebaliknya jalanilah hubungan secara profesional dan berintegriti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

  • Video Pilihan

  • Gambar Pilihan

  • Post Terkini

  • Arkib

  • RSS Free Malaysia Today

  • RSS Utusan Malaysia

  • RSS Roket Kini

  • NetworkBlogs

  • Alexa Rank

  • Jumlah Pelawat

    • 1276264Total visitors:
  • Skip to toolbar