BN Kekal Berkuasa Di Pahang?

January 19, 2018 by Caspian

Category: politik

BN kekal berkuasa di Pahang?

BAHANG PRU14 semakin terasa, gendang sudah dipalu, sama ada daripada pihak kerajaan mahupun pembangkang.

Namun senario politik PRU14 sedikit berbeza, sekiranya Pas kekal dengan bloknya sendiri, di samping Pakatan Harapan dan BN.

Ramai pemerhati politik juga membayangkan saingan tiga penjuru akan berlaku di seluruh negara, termasuk Pahang yang terdiri daripada 42 kerusi Dun dan 14 kerusi parlimen.

Menyingkap perjalanan politik Pahang ketika ini, negeri yang terbesar di semenanjung itu berada di bawah kekuasaan BN, yang dipimpin oleh Datuk Seri Adnan Yaakob selaku Pengerusi BN Pahang. Tiada istilah tidak bersedia.

Adnan seperti dilaporkan media pada 15 Januari lalu menyatakan BN Pahang telah mengenal pasti calon yang memiliki ciri-ciri disukai rakyat untuk bertanding pada PRU14.

Menurut Adnan, senarai lengkap cadangan calon termasuk daripada parti komponen BN untuk bertanding di 14 kerusi parlimen dan 42 kerusi Dun telah dihantar kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Jelasnya, bagi kerusi tradisi, tidak akan berlaku pertukaran antara parti komponen bagi menjaga hati semua pihak.

“Calon yang dicadangkan terdiri daripada muka lama dan baharu, yang boleh memberi kemenangan kepada BN, namun pemilihan terakhir terserah kepada Perdana Menteri.

“Sebagai contoh, kerusi Parlimen Cameron Highlands tetap dicadangkan kepada MIC walaupun kawasan itu majoritinya Melayu,” katanya.

Bagi pihak Pas Pahang pula, Pesuruhjayanya, Rosli Abdul Jabar mengesahkan akan bertanding di tiga kerusi panas membabitkan kawasan Parlimen Kuantan, Indera Mahkota dan Bentong termasuk kesemua kerusi Dun iaitu Pelangai, Bilut, Sabai serta Ketari.

Pengerusi Sekretariat Pakatan Harapan Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman pula mengesahkan, setakat ini hampir keseluruhan pembahagian kerusi dalam Pakatan Harapan sudah diselesaikan.

Bagi kerusi Dun, PKR akan bertanding di 12 kerusi, DAP lapan kerusi, manakala Amanah dan Bersatu masing-masing 10 kerusi.

Manakala kerusi parlimen pula, PKR akan meletakkan calon di empat kerusi, manakala DAP, Amanah dan Bersatu masing-masing tiga kerusi.

“Kita bersedia berdepan dengan pertandingan tiga penjuru selepas Pas tidak menunjukkan sebarang minat untuk bekerjasama dengan pakatan pembangkang,” katanya seperti yang dilaporkan pada Oktober tahun lalu.

Apabila membincangkan soal pembahagian kerusi dan calon di Pahang, Parlimen Pekan sering menjadi bualan hangat. Daripada pemerhatian, kerusi yang disandang oleh pemimpin nombor satu negara itu didakwa kebal untuk disaingi.

Pada PRU13, kerusi Pekan yang diwakili Najib (BN) ditentang hebat oleh PKR, namun BN menang dengan majoriti besar, tetapi tidak popular.

Najib menang dengan undian 51,278 menewaskan Mohd Fariz Abd Talib @ Musa (PKR) yang memperoleh 15,665 undi, dengan majoriti 35,613 undi.

Pemerhati politik, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berpendapat, pembangkang berdepan laluan sukar untuk menguasai Pahang dan akan kekal di tangan BN.

“Tiada isu besar yang boleh gugat BN di Pahang, manakala hasrat pembangkang untuk tawan Pekan dilihat kerja yang rumit,” katanya.

Namun katanya, beberapa kawasan bandar dan luar bandar yang ramai pengundi bukan Melayu sukar diramal.

“Senario baru PRU14 ialah faktor Pas dan Pakatan Harapan wujud. Maknanya, undi Melayu terbahagi tiga, jadi undi bukan Melayu mungkin jadi penentu di kawasan yang ramai pengundi bukan Melayu,” katanya.

Beliau berkata, kawasan kampung dan desa yang ramai pengundi Melayu terutama kerusi tradisi Umno juga sukar untuk pembangkang pecah masuk, dan perbandingan itu dapat dilihat menerusi apa yang berlaku dalam senario PRU12 dan PRU13.

Tambahan pula katanya, beberapa isu yang berkaitan peneroka juga telah dapat ditangani kerajaan.

“Isu tanah Felda Jalan Semarak pun hampir selesai, jadi undi peneroka Felda untuk BN pun saya rasa selamat,” katanya. Dalam soal calon yang berhasrat menyaingi kerusi Pekan dan berdepan Najib, Nik Ahmad Kamal berkata, individu itu mestilah seorang yang berkarisma dan berwibawa.

Selain Pekan, pertembungan sengit juga diramal di Parlimen Kuantan.

Pada PRU13, PKR diwakili Fuziah Salleh (25,834 undi) dengan majoriti 4,515, menewaskan Mohamed Suffian Awang (BN) dengan jumlah undian 21,319.

Tidak ketinggalan ialah kerusi panas, Parlimen Temerloh yang dimenangi Nasruddin Hassan (Pas) juga akan diasak oleh Amanah dan berkemungkinan berlaku tiga penjuru.

Namun kata Nasruddin, Pas akan tetap mempertahan kerusi milik parti Islam itu.

Perjalanan politik di Pahang sebenarnya melibatkan ramai tokoh dan nama besar yang begitu disegani, sama ada dalam organisasi parti itu sendiri, mahupun peranan sebagai wakil rakyat.

Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga adalah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah; Ahli Parlimen Bentong adalah Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat merangkap Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said; Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang juga Ahli Parlimen Rompin, Datuk Hasan Arifin; Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abd Muttalib juga Timbalan Menteri Sumber Manusia, dan
Pengerusi KPTM yang juga Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris.

Namun, jangan diabaikan juga kekuatan pembangkang yang sudah tentu memberi saingan. Pada PRU13, DAP menang tujuh daripada 42 kerusi Dun Pahang iaitu Tanah Rata, Tras, Mentakab, Bilut, Ketari, Sabai dan Triang, sementara Pas pula memenangi tiga kawasan iaitu Tanjung Lumpur, Beserah dan Kuala Semantan.

Kerusi parlimen pula, DAP menang satu kerusi di Raub, manakala PKR dua kerusi iaitu Kuantan dan Indera Mahkota, manakala Pas satu kerusi di Temerloh dan selebihnya milik BN.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

  • Video Pilihan

  • Gambar Pilihan

  • Post Terkini

  • Arkib

  • RSS Free Malaysia Today

  • RSS Utusan Malaysia

  • RSS Roket Kini

  • NetworkBlogs

  • Alexa Rank

  • Jumlah Pelawat

    • 1276265Total visitors:
  • Skip to toolbar