Salah Siapa Graduan Jaja Nasi Lemak, Bawa Uber?

January 19, 2018 by Caspian

Category: Uncategorized

Kasihan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bukan saja diwariskan negara yang dibelenggu pelbagai masalah sosial, ekonomi dan politik, perdana menteri kita juga terpaksa menghadapi masalah bekas perdana menteri yang mengacau dan membuat hal.

Dalam kesibukan menyelesaikan masalah struktur, kekecohan politik sejak pemecatan Anwar Ibrahim oleh Mahathir Mohamad dan kegawatan ekonomi global, perdana menteri terpaksa menghadapi pelbagai isu buatan yang sengaja diuar-uarkan media propembankang dan media baru.

Media-media ini lebih bebas dan berani mengecam pemerintah tanpa etika asalkan mempunyai nilai sensasi media.

Inilah beza zaman pemerintahan BN bawah Datuk Seri Najib Razak dan era Mahathir yang mempunyai suasana dan cabaran yang tidak sama.

Di era pemerintahan Mahathir, politik dan ekonomi kita mantap. BN mendapat mandat 2/3 penguasaan dalam parlimen sehinggalah bekas Mahathir keluar parti dan membuat gesaan terbuka agar rakyat menggurangkan majoriti BN bawah Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Alasan Mahathir untuk mengurangkan mandat BN ke bawah paras 2/3 supaya kerajaan tidak angkuh dan salahguna kuasa.

Walhal zaman pemerintahan Mahathirlah berlaku salah guna kuasa dan amalan kronisme yang paling ketara.

Tapi pada zamannya, Mahathir mengemis memohon rakyat memberinya mandat 2/3 supaya beliau dapat mentadbir negara tanpa diganggu gugat.

Kasihan Abdullah pula kena tanggung bala kemarahan rakyat terhadap penyalahgunaan kuasa mutlak mandat 2/3 zaman Mahathir.

Ironinya yang menyeru rakyat menghukum salah guna kuasa dan amalan kronisme kerajaan BN zaman Mahathir ialah Mahathir sendiri.

Yang dihukum dan menanggung ialah kerajaan BN Abdullah. Itulah ketidakadilan dunia nyata. Orang lain yang berdosa orang lain pula yang menanggung padah.

Keadilan menunggu di alam baqa.

Seharusnya kuasa dan pengaruh ini digunakan secara bijaksana dan bertanggungjawab.

Sebagai pemain dalam pasukan, kita semua berdiri bersama Mahathir walaupun tidak semestinya bersetuju dengan segala keputusan dan tindakannya.

Itulah amalan disiplin dan semangat demokrasi yang komponen-komponen BN amalkan. Dahulunya DAP menghentam MCA kerana akur pada etika politik dan semangat berpasukan bawah pimpinan Mahathir.

Pengerusi pintu belakang

Kini DAP pula mengikut-ikut telunjuk Mahathir sejak Mahathir dijadikan pengerusi Pakatan Harapan secara pintu belakang.

Adakah Mahathir dipilih oleh ahli melalui pilihan parti atau beliau dijadikan pengerusi setelah berpakat-pakatan secara politik?

DAP pula makan dedak politik Mahathir dengan menggadai segala prinsip-prinsip laungan mereka dan menelan segala-gala tuduhan, dosa dan salah laku Mahathir sepanjang 22 tahun menerajui negara.

Itulah maruah politik DAP bawah regu anak-beranak Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng sehinggalah anak mendiang Karpal Singh, Sunjeet Kaur terpaksa menyuarakan bantahan beliau secara terbuka kerana tidak dapat menelan dan menggadai maruah dan prinsip perjuangan bapanya.

Berbalik kita kepada isu graduan yang terpaksa menjadi pemandu Uber atau penjaja nasi lemak, penulis terkilan Mahathir menghina dan stereotaip penjaja nasi lemak dan pemandu Uber sebagai pekerja lapisan bawahan yang tidak mendapat penghormatan.

Maka adalah satu penghinaan sekiranya mereka memilih untuk menyara hidup dengan memilih untuk bekerja sebagai pemandu Uber dan penjaja nasi lemak sebagai kerja sampingan atau sementara.

Adakah graduan yang memakai kereta mewah, kerja berkolar putih tapi rasuah dan metipu lebih tinggi martabat dan maruah daripada graduan yang memilih untuk bekerja secara halal dan bersungguh-sungguh untuk menampung diri dan keluarga?

Kita kena terima hakikat bukan semua warganegara mempunyai bapa atau atuk yang bekas perdana menteri.

Bukan semua orang boleh menjadi jutawan walaupun hampir bankrap semasa kegawatan ekonomi.

Nasiblah kalau semua graduan boleh menjadikan Mahathir sebagai ayahanda atau godfather tetapi kita kebanyakan adalah rakyat marhaen yang tidak mempunyai banyak pilihan.

Sama ada pemandu Uber atau penjaja nasi lemak, kita tetap bermaruah, tinggi martabat dan kaya dengan nilai-nilai hidup yang suci dan murni.

Kalaulah kita mahu mencari kesalahan, Mahathir juga yang harus dipersalahkan kerana gagal merealisasikan Wawasan 2020 dalam masa 22 tahun pemerintahannya.

Yang menanggung kegagalannya ialah penggantinya Abdullah dan kini Najib, ibarat hutang ayah yang terpaksa ditanggung anak tetapi ayah pula menyalahkan anak kerana susah mahu menjelaskan hutang ayah.

Kalau kita tengok negara-negara maju mahupun seperti di Great Britain atau di Australia, peluang-peluang pekerjaan untuk graduan pun terhad.

Semasa saya berada di Australia, ramai graduan kita juga bekerja sambilan sebagai pelayan kedai makan dan rangkaian makanan segera.

Saya berkesempatan berbual dengan seorang pelayan Cina yang berkelulusan kejuruteraan yang merungut tentang peluang pekerjaan yang terhad di sana juga.

Di Malaysia, saya masih belum berkesempatan berjumpa seorang yang berkelulusan kejuruteraan untuk bekerja di MCdonald, KFC atau menjaja nasi lemak serta menjadi pemandu Uber.

Kalau kita terjumpa nanti, janganlah kita menghina mereka. Di satu hari nanti graduan inilah yang akan menjadi jutawan dan kejayaan.

Bezanya kejayaan mereka bukanlah hasil daripada bantuan atau pengaruh bapanya!

Hormatilah penjaja nasi lemak dan pemandu Uber kita ya!

DATUK SERI TI LIAN KER adalah anggota jawatankuasa politik MCA.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

  • Video Pilihan

  • Gambar Pilihan

  • Post Terkini

  • Arkib

  • RSS Free Malaysia Today

  • RSS Utusan Malaysia

  • RSS Roket Kini

  • NetworkBlogs

  • Alexa Rank

  • Jumlah Pelawat

    • 1276264Total visitors:
  • Skip to toolbar