Bunyi Letupan Sebelum Api Marak – Petugas KWSP

February 13, 2018 by Caspian

Category: politik

Seorang petugas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Jalan Gasing di Petaling Jaya berkata beliau terdengar letupan dari luar bangunan berkenaan sebelum dimaklumkan mengenai bahagian kiri bangunan KWSP telah dijilat api.

T Saraswati, 38, berkata ketika kejadian beliau sedang bertugas di kaunter pertanyaan di lobi bangunan itu.

“Saya terdengar bunyi letupan dari bahagian luar bangunan, ingatkan terdapat kerja-kerja pembinaan. tetapi sangkaan saya meleset apabila pihak keselamatan memaklumkan bahagian kiri bangunan telah terbakar.

Kesemua pekerja yang parkir kenderaan berdekatan kawasan kebakaran bergegas mengalihkan kenderaan masing-masing dan ada antara mereka tidak dapat berbuat demikian berikutan api telah marak, kurang 10 minit, lebih 40 peratus bangunan ini telah musnah dijilat api,” katanya ketika ditemui Bernama di lokasi kejadian.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor menerima panggilan berhubung kejadian itu pada kira-kira 11.52 pagi ini dan tiba di lokasi pada kira-kira 11.58 pagi.

Sementara itu, seorang pemilik kereta Perodua Myvi berputih mata selepas kereta yang baru dibeli kira-kira tiga bulan lalu turut terjejas akibat kebakaran tersebut.

Pemilik kereta yang dikenali sebagai Riduan, 29, berkata selepas kejadian itu, dia cuba untuk mengalihkan kenderaan itu, namun dihalang oleh pekerja lain kerana bahagian hadapan kereta telah terbakar.

“Ketika kejadian saya berada di tingkat 4, sejurus dimaklumkan oleh pengawal keselamatan, saya terus berlari mendapatkan kereta saya tetapi ketika itu bahagian hadapan kereta saya telah teruk terbakar.

Namum saya bersyukur kesemua pekerja selamat” katanya.

Bagi pengguna Lebuhraya Persekutuan, Salehien Abdul Rahman, 25, yang ditemui berhampiran lokasi kejadian berkata api daripada kebakaran itu boleh dilihat hingga 3km.

“Ketika itu, saya dalam perjalanan dari Shah Alam ke ibu kota, saya dapat melihat api marak dari jauh dan keadaan jalan amat sesak kerana orang ramai berkerumun melihat kejadian itu,” katanya.

Bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Jalan Gasing, Petaling Jaya yang terbakar tengah hari ini berusia 58 tahun.

Mengikut rekod berita-berita yang pernah disiarkan mengenai bangunan itu, ia pernah beroperasi sebagai Ibu Pejabat KWSP selama 35 tahun sejak 1960 sehingga 1995.

Bangunan itu terletak hampir dengan Lebuhraya Persekutuan dan menjadi panduan penduduk Lembah Klang untuk menentukan sempadan di antara Selangor dan Kuala Lumpur.

Kerja-kerja pengubahsuaian bangunan berkenaan dilaksanakan sekitar 2004 bagi menempatkan Jabatan Teknologi Maklumat KWSP dan Pejabat KWSP Negeri Selangor.

Kerja-kerja pengubahsuaian dilakukan bagi meningkatkan ciri-ciri keselamatan dan kemudahan elektrik serta mekanikal, selain reka bentuk baharu bangunan menerapkan ciri-ciri seni bina dan identiti bangunan KWSP lain di seluruh negara, mengikut rekod.

Bangunan berwajah baharu itu merupakan Pusat Khidmat Setempat bagi perkhidmatan seperti permohonan pengeluaran simpanan, mendaftarkan ahli dan majikan baharu, menerima bayaran caruman dan membekalkan penyata kira-kira ahli.

Dalam kejadian kebakaran tengah hari ini, kira-kira 40 peratus daripada bangunan enam tingkat cawangan itu dijilat api.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

  • Video Pilihan

  • Gambar Pilihan

  • Post Terkini

  • Arkib

  • RSS Free Malaysia Today

  • RSS Utusan Malaysia

  • RSS Roket Kini

  • NetworkBlogs

  • Alexa Rank

  • Jumlah Pelawat

    • 1276082Total visitors:
  • Skip to toolbar