Haram Rosakkan Undi: Mufti

February 14, 2018 by Caspian

Category: politik

Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri

Haram hukumnya apabila mana-mana individu atau pihak tertentu merosakkan undi pada PRU14.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, haram hukumnya apabila individu yang layak mengundi tetapi tidak berbuat demikian dan tidak mendaftarkan diri sebagai pengundi.

“Berdasarkan kepada kepentingan pelantikan pemerintah, haram merosakkan undi. Ini kerana pemerintah umpama paksi dalam satu bulatan. Dia yang akan merealisasikan perpaduan dan menjaga keutuhan melalui kepimpinannya.

“Jawatan tersebut amat perlu demi kestabilan undang-undang dan keharmonian keadaan,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Menurutnya, sebahagian besar perlaksanaan hukum-hakam dalam syariat Islam tertakluk kepada kuasa pemerintah.

Beliau berkata, jika tiada pemerintah yang berkemampuan dan berwibawa menduduki jawatan tersebut, sudah tentu segala hukum-hakam akan terus tergantung tanpa dapat dilaksanakan.

“Umat Islam pula akan sentiasa terdedah kepada kemunculan kumpulan pelampau yang mahu menimbulkan ketidakstabilan dalam masyarakat Islam.

“Mereka didorong oleh hawa nafsu atau fahaman sesat berselindung di sebalik nama agama atau pemulihan masyarakat, dan usaha memadam ketidakstabilan ini hanya mampu dilakukan oleh seorang pemerintah Islam yang adil,” katanya.

Zulkifli berkata, seorang pemerintah dapat menggariskan jalan yang betul kepada umat Islam dan mengingatkan mereka supaya tidak terpesong ke jalan lain.

“Namun, ketika pemerintah ini tidak wujud, para pendukung pelbagai fahaman sudah tentu akan berusaha menjadikan umat Islam berada dalam kebingungan tanpa sebarang penyelesaian.

“Akhirnya umat Islam akan berpecah kepada beberapa puak dan kelompok yang saling bercakaran. Mereka akan hancur disebabkan pertelagahan dan perpecahan itu,” katanya.

Menurutnya, atas dasar itu, rakyat yang layak mengundi perlu mendaftarkan diri dan mengundi pada PRU14 serta melaksanakan tanggungjawab dan amanah dengan mengundi calon diyakini menjaga Dharuriyyat al-Khams yang lima itu iaitu agama, nyawa, aqal, keturunan dan harta.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

  • Video Pilihan

  • Gambar Pilihan

  • Post Terkini

  • Arkib

  • RSS Free Malaysia Today

  • RSS Utusan Malaysia

  • RSS Roket Kini

  • NetworkBlogs

  • Alexa Rank

  • Jumlah Pelawat

    • 1276081Total visitors:
  • Skip to toolbar