Parlimen Lipis Terima Peruntukan Besar

April 12, 2018 by Caspian

Category: politik

Sejumlah hampir RM300 juta peruntukan telah diluluskan kerajaan dalam tempoh lima tahun sejak 2013 hingga kini bagi projek pembangunan dan infrastruktur di Parlimen Lipis.

Ketua Umno Bahagian Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad berkata, antara peruntukan terbesar diterima Parlimen itu ialah projek menaik taraf paip dan loji air bernilai lebih RM100 juta yang diluluskan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga anak kelahiran Lipis.

Menurutnya, kewujudan laluan dua lorong sehala bagi projek Central Spine Road (CSR) dari Kuala Lipis ke Merapoh bernilai hampir RM1 bilion yang kini hampir siap pembinaannya turut memacu pertumbuhan pekan Padang Tengku dan kawasan Merapoh.

Advertisement

Jelasnya, kemudahan CSR itu yang menghubungkan Simpang Pelangai, Bentong ke Gua Musang, Kelantan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2020.

Abdul Rahman (empat, kiri) turut serta memeriahkan Liga Bola Sepak Piala Parlimen Lipis 2018.
“Jika diteliti sekarang ini pembinaan projek CSR sedang giat dijalankan di Bentong, manakala laluan di Lipis-Gua Musang tinggal sedikit saja untuk disiapkan.

“Cuma di tengah-tengah antara Lipis-Raub difahamkan telah ada kontraktor dan projek pembinaan lebuh raya tersebut akan dimulakan pada bila-bila masa sahaja dengan kos bernilai hampir RM1 bilion,” katanya.

Beliau berkata, projek jalan raya utama khususnya di kawasan kampung juga telah selesai seperti laluan Kampung Aur Gading-Kampung Chegar Perah-Felda Chegar Perah yang bernilai RM103 juta yang kini telah siap sepenuhnya.

Selain itu katanya, jambatan konkrit baharu Kampung Aur Gading bernilai RM25 juta juga hampir siap dibangunkan bagi menggantikan jambatan lama yang rosak akibat banjir besar pada tahun 2014.

Tumpu projek pertanian

Abdul Rahman berkata, untuk langkah seterusnya beliau ingin menumpukan pada projek pembangunan ekonomi dan pertanian khususnya melibatkan golongan belia.

Katanya, baru-baru ini kerajaan telah meluluskan RM300,000 peruntukan untuk 80 belia berminat mengusahakan projek tanaman cili fertigasi di beberapa kawasan sekitar Parlimen ini.

“Saya juga berhasrat ingin jadikan Lipis sebagai hab pertanian, sebab di sini masih banyak tanah kosong, terbiar dan tidak diusahakan.

“Tambahan pula saya mendapat banyak maklum balas mengenai anak-anak muda yang berminat menceburi bidang pertanian, malah ada yang sanggup menyertai kursus pertanian fertigasi di Kuala Langat, Selangor ,”katanya.

Mahu dapatkan sebuah IPTA

Dari aspek pendidikan pula, Abdul Rahman berkata, beliau berhasrat untuk mendapatkan sebuah institusi pengajian tinggi sama ada kampus cawangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) atau Universiti Putra Malaysia (UPM) yang menyediakan pengkhususan pertanian.

Menurutnya, tapak bagi institusi berkenaan dicadangkan di Bukit Sarang yang terletak bersebelahan dengan Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan (IPGKTAA) Lipis.

“Bagi Kolej Komuniti Lipis (KKL) pula kita cadangkan untuk meluaskan lagi kawasan kepada 16,000 kaki persegi berbanding 2,000 kaki persegi sekarang bagi menampung permintaan pelajar yang berminat menyertai kursus yang disediakan di KKL.

“Selain itu Universiti Terbuka (Open University) juga telah bersetuju untuk membuka cawangan di Lipis dan saya telah cadangkan beberapa kawasan di Kuala Lanar, Tanjung Lipis dan Sungai Damak Dun Benta untuk tapak universiti ini,” katanya.

Terapkan modal insan

Abdul Rahman berkata, dari aspek agama pula beliau ingin memastikan keselesaan dari segi prasarana buat jemaah di masjid dan surau semasa mereka bersolat mahupun ketika penganjuran program keagamaan.

Menurutnya, beliau juga berusaha memberi sokongan dari segi bina insan khususnya buat golongan belia bagi memastikan mereka mampu berusaha memperoleh pendapatan sendiri.

“Saya lebih gemar melibatkan belia dalam projek ekonomi dan hab pertanian selain turut mengharapkan agar mereka tidak terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan.

“Kita hanya membantu sekadar termampu sahaja sebaliknya penduduk perlu berusaha bagi memastikan mereka mampu keluar dari kepompong kemiskinan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

  • Video Pilihan

  • Gambar Pilihan

  • Post Terkini

  • Arkib

  • RSS Free Malaysia Today

  • RSS Utusan Malaysia

  • RSS Roket Kini

  • NetworkBlogs

  • Alexa Rank

  • Jumlah Pelawat

    • 1298733Total visitors:
  • Skip to toolbar